Isnin, November 09, 2009

Tumbukan Hook

Tumbukan Hook adalah serangan yang dilancarkan dari sisi. Ia adalah senjata yang versatail kerana ia boleh dilancar dari jarak tempur seperti mana Jab dan Cross dilancarkan, dan ia boleh juga dilancarkan dari jarak bergelut.

Tumbukan Hook sering mengenai sasaran tanpa disedari lawan dan boleh menyebabkan lawan tumbang secara knockout sekira tumbukan itu dilancarkan dengan betul dan tepat. Ia boleh dilancarkan secara bersendirian, secara kombinasi seperti Jab-Cross-Hook sebagai contoh.

Tumbukan Hook juga bagus digunakan sebagai serangan balas untuk bagi menangkap lawan yang sedang menyerang, dan ia juga boleh digunakan sebagai umpan untuk membolehkan lawan membuka ruang untuk serangan lain seperti Cross untuk mengenai sasaran yang sedang terbuka tatkala lawan sibuk melindungi diri daripada tumbukan Hook.

Seperti tumbukan Jab ataupun Cross, mulakan dengan mengambil posisi Fighting Stance. Sekiranya pelatih menggunakan posisi Fighting Stance yang ortodoks, tumbukan Hook menggunakan tangan kiri akan dipanggil Lead Hook kerana kedudukannya yang dihadapan, dan sebaliknya tumbukan Hook menggunakan tangan kanan akan dipanggil Rear Hook kerana kedudukan tangan yang berada di belakang.


Melancarkan Lead Hook

Dari posisi Fighting Stance, badan dan kaki kanan dipusing sedikit ke kiri di atas bebola tapak kaki. Sambil memusing, tangan kanan diletakkan rapat diatas melindungi bahagian muka dan rusuk. Tangan kiri pula sentiasa diangkat dan berada dalam keadaan sedia untuk dilancarkan.

Apabila bersedia, pusingkan kaki kiri anda sebanyak 30 darjah kedalam, dan lancarkan tumbukan Hook tangan kiri sambil buku lima diputarkan kedalam, dengan pantas, padu dan tepat pada sasaran. Bahagian telapak tangan anda akan mengadap ke bawah apabila tumbukan Lead Hook anda mengenai sasaran. Seperti melancarkan tumbukan yang lain, pastikan semasa Hook dilancarkan, anda mengaplikasi teknik pernafasan yang betul sambil tangan kanan anda melindungi muka dan rusuk kiri anda. Setelah itu, kembali ke kedudukan Fighting Stance dan bersedia untuk melancarkan serangan yang sama, yang lain ataupun mengambil langkah bertahan.


Melancarkan Rear Hook

Dari posisi Fighting Stance, pusingkan badan dan kaki kiri sedikit ke kanan di atas bebola tapak kaki. Sambil memusing, tangan kiri diletakkan rapat diatas melindungi bahagian muka dan rusuk. Tangan kanan pula diangkat dan berada dalam keadaan sedia untuk dilancarkan.

Apabila bersedia, pusingkan kaki kanan anda sebanyak 30 darjah kedalam, dan lancarkan tumbukan Hook tangan kanan sambil buku lima diputarkan kedalam, dengan pantas, padu dan tepat pada sasaran. Bahagian telapak tangan anda akan mengadap ke bawah apabila tumbukan Rear Hook anda mengenai sasaran. Diingatkan, jangan lupa mengaplikasi teknik pernafasan yang betul sambil tangan kiri anda melindungi muka dan rusuk kiri anda. Setelah itu, kembali ke kedudukan Fighting Stance dan bersedia untuk melancarkan serangan yang sama, yang lain ataupun mengambil langkah bertahan.

Berlatihlah menggunakan Lead Hook dahulu, dan Rear Hook anda kemudian. Setelah anda merasa selesa berlatih tumbukan ini secara berasingan, cuba berlatih menggunakan kombinasi tumbukan Lead Hook-Rear Hook.

Berusahalah dengan gigih. Selamat mencuba!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

2 ulasan:

Gadged berkata...

hebat tipsnya buat saya ingin belajar

Ilm berkata...

Terima kasih. Kickboxing Jom! Azam baru 2010 :)