Jumaat, Oktober 30, 2009

Tumbukan Cross

Satu lagi senjata penting seorang pelatih Kickboxing adalah tumbukan Cross. Dalam kombinasi klasik satu-dua sukan ini, tumbukan Jab yang dibincang sebelum ini sering diikuti dengan tumbukan Cross kerana ia merupakan senjata ampuh yang kerap menyebabkan lawan tumpas secara knockout di gelanggang.

Walaupun Cross bertindak sebagai pemusnah lawan, harus diingat bahawa tumbukan ini tidak selaju tumbukan Jab. Lawan akan sempat melihat Cross datang kearahnya dan mengambil tindakan pertahanan seperti menepis atau mengelak sepenuhnya.

Seperti tumbukan Jab, mulakan dengan mengambil posisi Fighting Stance. Sekiranya pelatih menggunakan posisi Fighting Stance yang ortodoks, tumbukan Cross dilancarkan menggunakan tangan kanan, iaitu tangan yang berada di belakang. Dari posisi Fighting Stance, pusingkan badan dan kaki kiri dipusing sedikit ke kanan di atas bebola tapak kaki. Tangan kiri diletakkan rapat diatas pipi kiri sambil melindungi rusuk kiri. Tangan kanan pula sentiasa di angkat dan berada dalam keadaan sedia untuk dilancarkan.

Apabila bersedia, pusingkan kaki kanan sebanyak 30 darjah kedalam, dan lancarkan tumbukan kanan sambil buku lima diputarkan kedalam, dengan pantas pada sasaran. Seperti melancarkan tumbukan Jab, pastikan semasa Cross dilancarkan, anda mengaplikasi teknik pernafasan yang betul sambil tangan kiri anda melindungi muka dan rusuk kiri anda. Setelah itu, kembali ke kedudukan Fighting Stance dan bersedia untuk melancarkan serangan yang sama, yang lain ataupun mengambil langkah bertahan.

Berlatihlah dengan mengulanginya beribu-ribu kali sehingga sebati dalam diri anda.

Selamat berjuang!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Rabu, Oktober 28, 2009

Tumbukan Jab

Jab adalah salah satu tumbukan yang paling penting dalam Kickboxing. Walaupun tumbukan jab bukan senjata yang paling kuat, ia adalah senjata tangan yang paling hampir dengan anggota lawan. Ia sesuai digunakan sebagai serangan pembuka bagi serangan yang seterusnya daripada anggota tangan yang lain ataupun kaki.

Ketika diserang lawan, tumbukan Jab yang lurus, mudah, dan laju, sesuai digunakan untuk mengganggu rentak lawan. Setelah serangan lawan dapat dipatahkan, tumbukan Jab seharusnya diikuti dengan serangan-serangan lain yang lebih bisa daripada tangan belakang mahupun kaki.

Secara asasnya, sekiranya pelatih menggunakan Fighting Stance yang ortodoks, tumbukan Jab dilancarkan menggunakan tangan kiri kerana ianya berada di hadapan, dan paling hampir pada anggota lawan. Dari posisi Fighting Stance, pusingkan badan dan kaki kanan dipusing sedikit ke kiri di atas bebola tapak kaki. Tangan kanan diletakkan rapat diatas pipi kanan sambil melindungi rusuk kanan. Tangan kiri pula sentiasa di angkat dan berada dalam keadaan sedia untuk dilancarkan.

Apabila bersedia, pusingkan kaki kiri sebanyak 30 darjah kedalam, dan lancarkan tumbukan kiri sambil buku lima diputarkan kedalam, dengan pantas pada sasaran. Pastikan semasa Jab dilancarkan, anda mengaplikasi teknik pernafasan yang betul sambil tangan kanan anda melindungi muka dan rusuk kanan anda. Setelah itu, kembali ke kedudukan Fighting Stance dan bersedia untuk melancarkan serangan yang sama, yang lain ataupun mengambil langkah bertahan.

Berlatihlah dengan mengulanginya beribu-ribu kali sehingga sebati dalam diri anda.

Selamat mencuba!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Isnin, Oktober 26, 2009

Sarung Tinju untuk Kickboxing

Sarung tinju atau Boxing Gloves, adalah satu lagi kelengkapan yang penting dalam latihan Kickboxing. Ia adalah kelengkapan keselamatan yang perlu untuk menjaga tangan anda, yang terdiri daripada tulang-tulang kecil, daripada tercedera apabila menumbuk. Ia juga berperanan untuk menjaga keselamatan rakan-rakan pelatih daripada tercedera, apabila anda secara tidak sengaja tertumbuk mereka semasa latihan.

Sebagai pelatih baru, anda mungkin akan disarankan menggunakan bag glove, yang sesuai digunakan untuk latihan tubi menumbuk sasaran seperti beg berat, dan focus pad, yang biasanya digunakan dalam latihan Fitness Kickboxing. Ianya tidak sesuai untuk latihan lain seperti sparring kerana kurang ciri-ciri keselamatan seperti, kurangnya sokongan atau padding di sekeliling pergelangan tangan.



Bag gloves diatas, sebagai contoh, yang diperbuat daripada kulit asli, mempunyai span yang tebal, sesuai untuk menyerap impak keras yang terhasil ketika menumbuk beg berat, tetapi, tidak mempunyai perlindungan yang cukup untuk pergelangan tangan pelatih, sekadar tali getah elastik untuk membolehkan sarung tinju itu lekap pada tangan sepanjang latihan.

Apabila teknik menumbuk anda semakin maju, anda mungkin akan disarankan untuk menaiktaraf kelengkapan sarung tinju anda kepada jenis yang lebih selamat, yang dipanggil Training Gloves, ataupun Sparring Gloves. Ianya mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk tangan anda berbanding dengan Bag Gloves.



Training Gloves di atas sebagai contoh, yang diperbuat daripada bahan kulit sintetik, mempunyai lapisan padding yang penuh, di hadapan dan di belakang pergelangan tangan untuk membantu pelatih melancarkan tumbukan dengan teknik yang betul. Ciri-ciri Thumblok memposisikan ibu jari dan penumbuk pada kedudukan yang betul untuk mengurangkan risiko kecederaan. Dikeluarkan dalam saiz 12, 14 dan 16 auns dan ia juga dikeluarkan dalam pelbagai warna. Pengikat velcro di sekeliling pergelangan tangan membolehkan aksesori ini dipakaikan dan ditanggalkan dengan pantas dan mudah.

Tanyalah jurulatih anda dan minta pendapat mereka tentang sarung tinju yang sesuai untuk latihan Kickboxing anda. Tempat latihan anda juga mungkin menjual sarung tinju dan mempunyai polisi ketat yang menetapkan anda hanya menggunakan sarung tinju yang dijual di premis mereka sahaja.

Jagalah keselamatan tangan anda dengan memilih sarung tinju yang berkualiti yang dijual dengan harga yang berpatutan. Laburkan wang anda untuk membeli sarung tinju yang dapat mengelakkan tangan anda daripada tercedera, kerana sekiranya tangan anda tercedera ketika berlatih, bukan saja wang, tetapi masa anda juga terlebur kerana tidak dapat berlatih.

Aku percaya, tidak dapat berlatih akibat kecederaan akan mendedahkan anda kepada risiko kemurungan, lebih-lebih lagi apabila anda dah mula seronok mengikuti latihan Kickboxing dan mengikutinya bagai satu 'ritual' yang wajib dikerjakan setiap hari. Jaga-jaga ya!

Selamatkan tangan anda. Gunakan sarung tinju semasa berlatih Kickboxing.

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Jumaat, Oktober 23, 2009

Teknik Pernafasan

Satu perkara yang anda perlu tahu semasa berlatih Kickboxing ialah teknik pernafasan yang betul. Ianya perlu untuk mengelakkan diri anda daripada melihat bintang-bintang didalam studio, atau dengan kata lain, mengelakkan anda pitam semasa latihan sedang dijalankan. Selain daripada mengekalkan stamina semasa latihan, penggunaan teknik pernafasan yang betul juga membolehkan anda membuat serangan-serangan yang lebih kuat dan padu.

Cara bernafas yang betul ialah dengan menyedut udara melalui hidung dan menghembus keluar ia melalui mulut. Ia perlu dilakukan secara terkawal, iaitu, bernafas secara perlahan agar oksigen dapat dibekalkan secara maksima ke seluruh otot-otot anda yang sedang bekerja keras.

Jangan tahan nafas anda setiapkali melakukan serangan. Sebaliknya, lepaskan nafas anda dengan cepat sambil mengeluarkan bunyi seperti 'thsss' atau sebagainya. Kesannya, adalah tumbukan atau tendangan yang lebih kuat dan padu. Selain daripada itu, dengan mempraktikkannya, secara tidak langsung, anda akan memaksa diri anda untuk kembali menarik nafas.

Apabila sedang penat berlatih, anda mungkin akan lupa untuk bernafas dengan betul. Anda mungkin akan bernafas melalui mulut sahaja, dan tidak lagi menarik nafas melalui hidung. Elakkan perkara ini daripada berlarutan. Paksa diri anda untuk mengawal pernafasan anda agar ianya kembali teratur. Ingat, pernafasan yang betul ialah dengan menyedut udara melalui hidung dan menghembus keluar ia melalui mulut.

Selamat berlatih dan pastikan anda bernafas dengan betul!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Rabu, Oktober 21, 2009

Langkah

Langkah atau Footwork adalah pergerakan pelatih untuk merapati lawan, menjarakkan diri dari lawan, ataupun mengelak serangan lawan. Langkah-langkah yang asas untuk pelatih Kickboxing adalah ke hadapan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan.



Langkah ke Hadapan

Untuk melangkah ke hadapan, gerakkan kaki kiri ke hadapan, kemudian di ikuti dengan menggerakkan kaki kanan kehadapan. Kembali ke posisi Fighting Stance.


Langkah ke Belakang

Untuk melangkah ke belakang, gerakkan kaki kanan ke belakang dahulu, di ikuti dengan menggerakkan kaki kiri ke belakang. Kembali ke posisi Fighting Stance.


Langkah ke Kiri

Untuk melangkah ke kiri, gerakkan kaki kiri ke sisi kiri, di ikuti dengan menggerakkan kaki kanan ke kiri. Kembali ke posisi Fighting Stance.


Langkah ke Kanan

Untuk melangkah ke kanan, gerakkan kaki kanan ke sisi kanan dahulu, di ikuti dengan menggerakkan kaki kiri ke kanan. Kembali ke posisi Fighting Stance.


Ikut langkah-langkah asas diatas agar pergerakan Langkah anda dalam Kickboxing tidak sumbang. Langkah yang sumbang, seperti, kaki yang bersilang akan menyebabkan anda hilang kestabilan.

Pastikan jarak antara kedua belah kaki semasa melakukan Langkah adalah tidak terlalu jauh ataupun tidak terlalu dekat.

Anda juga harus bergerak di atas bebola tapak kaki anda ketika melakukan gerak Langkah agar anda lincah melancarkan serangan atau membuat pertahanan pada bila-bila masa diperlukan.

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Isnin, Oktober 19, 2009

Fighting Stance

Fighting Stance atau dalam terma bahasa persilatan Melayu, Sikap Pasang, adalah posisi mula cara berdiri seorang pelatih Kickboxing semasa berdepan dengan lawan.

Untuk melakukan Fighting Stance, jarakkan kedua belah kaki lebihkurang sama dengan jarak antara kedua belah bahu anda. Kaki kiri di hadapan dan diarahkan 30 darjah ke dalam manakala kaki kanan dibelakang, dan diarahkan ke kanan. Tegakkan badan anda dan pusingkan ia 30 darjah ke kanan. Jengketkan sedikit kaki anda dan berdiri diatas bebola tapak kaki.

Letakkan tangan kanan di pipi sebelah kanan dan tangan kiri anda pula di hadapan, selari dengan mulut anda. Kedua belah tangan anda hendaklah sentiasa di angkat agar dapat melindungi diri anda daripada serangan lawan.

Rapatkan dagu anda ke dada. Relakskan otot di bahu anda supaya ia dapat bertindak dengan cepat ketika menyerang.

Mata anda hendaklah diarahkan ke bahagian dada lawan. Walaubagaimanapun, jangan terlalu fokus pada satu titik penglihatan, tetapi, cuba dapatkan darjah pemandangan yang seluas mungkin agar anda dapat melihat serangan lawan.

Ketika anda berada dalam posisi Fighting Stance, pastikan jarak antara diri anda dan lawan adalah pada jarak tempur yang optima, tidak terlalu dekat ataupun terlalu jauh. Pastikan juga anda berada dalam keadaan stabil ketika berdiri setempat atau bergerak ke depan, belakang, ataupun ke kiri atau kanan.

Posisi Fighting Stance yang diterangkan diatas adalah posisi yang bersifat ortodoks. Sekiranya kedudukan kaki dan tangan disongsangkan, yang mana kedudukan kaki kanan dan tangan kanan dibawa ke hadapan, posisi Fighting Stance ini dipanggil Southpaw. Posisi ini biasanya lebih selesa bagi pelatih kidal.

Aku lebih bersifat Ortodoks, cuma kekadang, aku cuba gaya songsang, terutamanya bila rakan sparring aku adalah seorang Southpaw, ataupun, sekiranya rakan sparring aku seorang yang kerap menukar fighting stance ketika dalam permainan.

Selamat berlatih!

Jumaat, Oktober 16, 2009

Muzik dan Kickboxing

Kickboxing adalah latihan kecergasan yang sangat intensif dan menguji kekentalan semangat juang seseorang pelatih. Jadi, anda perlukan sesuatu yang dapat memberi anda motivasi untuk berjuang meneruskan latihan menendang dan menumbuk secara bertubi-tubi sehingga habis sesi latihan, walaupun merasa keletihan yang amat sangat.

Muzik adalah satu cara yang dapat membantu memberi anda motivasi yang diperlukan. Menurut kajian dari Brunel University, muzik dapat mengurangkan persepsi daya usaha sebanyak 10%. Ini bererti, seorang pelatih Kickboxing akan merasakan yang mereka perlu tambahan usaha sebanyak 10% sekiranya berlatih tanpa muzik. Pakar psikologi Dr Costas Karageorghis juga menyatakan bahawa muzik dapat membina set minda sukan yang mampu menghalang isyarat penat daripada sampai ke otak, meningkatkan mood yang bersifat positif seperti rasa bertenaga dan teruja, dan menghalang mood yang bersifat negatif seperti depresi.

Untuk latihan Kickboxing, muzik yang rancak dan mempunyai tempo berukuran dalam antara 120-140bpm (beats per minute) disarankan oleh buku karangan Cheryl L. Hyde, bertajuk Fitness Instructor Training Guide.

Semasa membuat carian Google tentang topik ini, aku dibawa ke artikel Kick-Butt Kickboxing Workout Playlist oleh Marianne Magno keluaran fitnessmagazine.com bulan Julai 2009. Artikel itu mencadangkan beberapa contoh lagu yang sesuai untuk sesi latihan kickboxing seperti yang disenaraikan di bawah;

  • "Knock You Down" - Keri Hilson, Kanye West, and Ne-Yo
  • "Paper Planes" - M.I.A.
  • "Circus" - Britney Spears
  • "Boom Boom Pow" - Black Eyed Peas
  • "That's Not My Name" - The Ting Tings
  • "Ring the Alarm" - Beyonce
  • "When I Grow Up" - The Pussycat Dolls
  • "So What" - Pink
  • "Beat It" - Michael Jackson
  • "LoveGame" - Lady Gaga
Lagu-lagu yang dicadangkan diatas, pada aku, memanglah bagus, cuma masalahnya, baru lagu pertama dipasangkan, aku dah teringat pada seseorang. Kantoi.

Aku rasa, aku lebih sesuai dengan muzik yang berentak berat. Dulu masa aku sering berlatih sendiri dengan beg berat dalam studio, aku selalu pasang album The Great Southern Trendkill oleh kumpulan Pantera. Memang aku lanyak semua beg berat tu cukup-cukup dengan tumbukan dan tendangan yang bertubi-tubi, dengan kaset tu sekali aku lanyak sampai putus. Jadi, sekarang, aku dah tak ada workout playlist atau muzik peniup semangat untuk dipasang semasa latihan kickboxing aku lagi.



Ya, aku pasang kaset. Orang lama, teknologi lama. Kantoi lagi.

Muzik memang memberi kesan yang positif dalam latihan Kickboxing aku. Mungkin kerana bila aku pasang kaset Pantera dulu, semangat aku ditiup oleh penyampaian emosi yang disampaikan melalui vokal Phil Anselmo yang ganas, riffing gitar Dimebag Darrel yang mengasyikkan dan hentakan dram Vinnie Paul? Tak semestinya. Kesan yang hampir sama boleh aku rasakan kalau aku pasang lagu Destiny's Child. Oops! Kantoi lagi. Jadi, mungkin juga kerana aku akan berlatih mengikut rentak yang teratur, mengikut tempo sesuatu lagu yang dipasang, menjadikan nafas aku lebih terkawal? Mungkin, kedua-dua faktor iaitu motivasi dan tempo memainkan peranan.

Tapi kesimpulannya, memang aku dapat rasakan, bila aku ada Workout Playlist atau senarai muzik yang sesuai, semangat aku naik dan aku tak rasa penat sangat semasa berlatih.

Kalau anda ada cadangan untuk lagu-lagu yang sesuai dipasang semasa latihan Kickboxing, sila cadangkan dan kongsi bersama di kotak komen ya.

Selamat Berjuang!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Rabu, Oktober 14, 2009

Memanaskan Badan dan Regangan

Dalam setiap sesi latihan Kickboxing, para pelatih perlulah membuat senaman memanaskan badan dan regangan terlebih dahulu. Kenapa? Aktiviti memanaskan badan dan regangan adalah perlu untuk;
  • Mengurangkan ketegangan otot dan menjadikan badan anda lebih relaks dan selesa ketika menjalani latihan
  • Membantu koordinasi badan anda agar pergerakan lebih bebas dan mudah
  • Menambah jarak dan lingkungan pergerakan anda
  • Mengelakkan kecederaan seperti ketegangan otot ketika menjalani latihan
  • Memberi isyarat kepada otot dan tubuh badan anda yang latihan Kickboxing yang intensif akan bermula
  • Membolehkan anda mengenali dan mengetahui kemampuan tubuh badan anda sendiri
  • Membantu melancarkan peredaran darah
  • Kelegaan yang akan nikmatisetelah melakukannya
Anda perlu pastikan agar tidak melakukan regangan secara keterlaluan dan ambil masa antara 10 sehingga 30 saat untuk setiap regangan. Lakukannya sehingga anda merasa sedikit tegang di bahagian yang diregangkan dan relaks ketika menahan setiap regangan.

Jaga pernafasan anda agar ianya perlahan dan terkawal, tetapi, jangan tahan nafas ketika melakukan regangan.

Buat kiraan di dalam hati ketika melakukan setiap regangan. Ini untuk memastikan anda meregangkan otot tersebut secara optima. Setelah beberapa sesi, anda akan melakukan regangan mengikut rasa, tanpa perlu lagi membuat kiraan.

Otot anda dilindungi oleh satu mekanisme keselamatan yang dipanggil Stretch Reflex, di mana, setiap kali anda meregangkan otot secara keterlaluan, sistem saraf anda akan menghantar isyarat untuk mengecutkan otot tersebut untuk mengelakkannya daripada mengalami kecederaan. Bermakna, setiap kali anda meregangkan otot secara keterlaluan, hasil yang sebaliknya akan berlaku, otot anda akan dikecutkan.

Meregangkan otot secara keterlaluan atau melakukan lantunan ketika aktiviti regangan juga boleh menyebabkan anda mengalami kesakitan, dan kecederaan, kemungkinan akibat otot tersebut mengalami koyak yang halus.

Aktiviti regangan sepatutnya tidak menyakitkan, jadi tolaklah fahaman 'No Pain, No Gain' yang telah lama tersemat dalam minda, barangkali sejak anda di bangku sekolah lagi. Kesakitan ketika atau akibat aktiviti regangan mungkin menandakan yang tubuh badan anda telah mengalami kecederaan.



Gambarajah di atas (klik atas gambar untuk paparan lebih besar), adalah contoh regangan untuk aktiviti seni bela diri seperti yang dicadangkan didalam buku karya Bob Andersen Stretching, 20th Anniversary Revised Edition. Ia mengambil masa lebih kurang 17 minit untuk melakukannya.

Selamat mencuba! Elakkan kecederaan ketika berlatih dengan melakukan aktiviti Regangan sebelum dan selepas berKickboxing.

Kickboxing jom! Ikut aku pergi berlatih malam ni. :-)

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Isnin, Oktober 12, 2009

Lindungi Tangan Anda

Sudahkah anda mula mencari studio atau kelab kickboxing? Sudahkah anda menjumpai tempat latihan yang sesuai dengan anda? Sudahkah anda mendaftarkan diri anda di studio atau kelab latihan tersebut? Jika semua jawapannya adalah 'Ya', syabas aku ucapkan kepada anda.

Antara kelengkapan yang paling awal yang anda perlukan apabila mula menyertai sesi latihan Kickboxing adalah sepasang Pembalut Tangan atau Handwraps. Ia adalah aksesori sukan Kickboxing yang dililit membaluti sekeliling pergelangan, buku lima, dan kedua belah tangan anda. Ia bertindak melindungi tulang dan sendi di tangan ada sewaktu melakukan latihan menumbuk dalam sukan Kickboxing.



Pembalut Tangan atau Handwraps biasanya diperbuat daripada 100% kain kapas, ataupun campuran 67% nylon dan 33% kain kapas. Panjangnya pula biasanya lebihkurang 110-120 inci, ataupun 170-180 inci. Pembalut Tangan yang diperbuat daripada 100% kain kapas adalah lebih tahan lasak dan memberikan sokongan maksima kepada pergelangan, buku lima dan kedua belah tangan anda. Manakala Pembalut Tangan yang diperbuat daripada campuran nylon dan kain kapas pula boleh diregangkan dan lebih fleksibel meliliti sekeliling tangan anda, memudahkan anda memakainya dengan lebih kemas.

Aku mempunyai kedua-dua jenis Pembalut Tangan yang dinyatakan diatas. Secara peribadi, walaupun Pembalut Tangan yang diperbuat daripada 100% kain kapas dikatakan lebih tahan lasak, aku kurang menggemarinya kerana ia akan jadi tidak kemas setelah separuh masa kelas berjalan. Ini sangat mengganggu sesi latihan aku kerana terpaksa membuka dan mengemaskan kembali lilitan sekeliling tangan aku. Leceh! Pembalut Tangan campuran nylon dan kapas pula adalah lebih mudah dan kemas untuk dipakai sehingga akhir perjalanan sesi latihan.


Cara Memakai

Mula-mula, hulurkan tangan anda dengan tapak tangan kebawah dan jari-jemari anda dijarakkan antara satu sama lain. Kemudian, sangkutkan penyangkut di pangkal Pembalut Tangan itu ke ibu jari anda.



Setelah itu, lilitkan sekeliling pergelangan tangan anda sebanyak 2-3 kali lilitan dengan kemas. Jangan lilit pergelangan tangan anda terlalu ketat sehingga mengganggu perjalanan darah anda.



Kemudian, bawa lilitan itu melalui belakang tapak tangan anda ke sebelah luar telapak tangan di paras buku lima, dan lalukan ia di antara jari kelingking dan jari manis anda melalui belakang tapak tangan anda, ke pergelangan tangan dibawah ibu jari anda.



Dari situ, teruskan pula melalui tapak tangan anda ke celah antara jari manis dan jari hantu anda terus ke pergelangan tangan, di bawah ibu jari anda.



Ulangi langkah tadi ke celah jari seterusnya iaitu antara jari hantu dan jari telunjuk anda.



Dari situ bawa ia meliliti bawah ibu jari anda, melalui tapak tangan anda ke tepi jari kelingking anda.



Lilitkan pula sekeliling buku lima anda sebanyak 2-3 kali.





Selepas itu, dari paras buku lima sebelah jari kelingking anda, bawa lilitan itu melintang ke pergelangan tangan bawah ibu jari anda melalui belakang tapak tangan anda, kemudian, ke pergelangan tangan bawah jari kelingking anda, bawa melintang naik semula ke paras buku lima di sebalah jari kelingking anda (Perhatikan lilitan melintang membentuk silang 'X' di belakang tapak tangan anda).



Dari situ, bawa melalui tapak tangan anda ke sebelah jari kelingking di paras buku lima dan lakukan lilitan yang membawa bentuk 'X' itu sekali lagi. (Pastikan jari-jemari anda dijarakkan semasa ini dilakukan, dan sesekali kepalkan tangan anda dan jarakkan semula jari-jemari anda untuk memastikan lilitan adalah selesa dan kemas)



Akhirnya, habiskan lilitan itu di sekeliling pergelangan tangan anda dengan menutup kemas velcro yang disediakan di hujung Pembalut Tangan anda. Perlu diingatkan sekali lagi, jangan balut sekeliling tangan anda terlalu ketat sehingga mengganggu perjalanan darah anda.



Bagaimana? Mudah? Lindungi tangan anda, dan selamat mencuba!


Nota Tambahan

Sila ambil perhatian agar tidak memasukkan Pembalut Tangan anda bersama-sama pakaian yang lain terutamanya yang berwarna putih ataupun cerah. Ini kerana setiap kali aku rendam Pembalut Tangan aku, warnanya akan pasti luntur.

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Jumaat, Oktober 09, 2009

Kickboxing Jom! Mana?

Adakah anda sudah mula berminat hendak menyertai latihan Kickboxing? Jom! Tapi di mana ya?

Di laman forum Martialarts.com.my, ada senarai studio atau  kelab Kickboxing yang terdapat di sekitar Lembah Klang, dan juga di seluruh Malaysia. Tetapi aku pasti, masih banyak studio yang tidak tersenarai didalam laman forum senibeladiri itu. Bagaimanapun, cuba mulakan carian anda di laman forum itu dahulu.  Selain daripada itu, tanyalah rakan anda sekira ada diantara mereka telah menyertai latihan di mana-mana studio atau kelab Kickboxing.  Pengalaman peribadi mereka juga adalah penting untuk anda menentukan studio mana patut anda sertai. Anda juga mungkin mahu cuba mencari studio yang berhampiran dengan rumah atau tempat kerja anda. 

Setelah dikenalpasti, anda pergilah melawat studio-studio itu dan membuat segala pertanyaan yang akan menjawab sebarang kemusykilan anda, seperti berapakah yuran bayaran mereka. Anda juga mungkin boleh meninjau persekitaran, dan kelengkapan  studio mereka.  Mungkin, anda akan diberi peluang memerhatikan perjalanan kelas, atau mungkin juga mendapat satu sesi percubaan latihan Kickboxing secara percuma. Sekiranya anda memilih untuk menyertai latihan percubaan percuma itu, pakailah pakaian yang longgar dan selesa, makan secukupnya beberapa jam sebelum latihan, bawa sebotol air mineral yang besar, dan tinggalkan sebarang ilmu beladiri yang telah anda pelajari sebelum ini dirumah, demi memudahkan pembelajaran.

Aku berlatih di Jak Othman Martial Arts Studio (JOMAS) yang mempunyai dua cawangan, satu di Seksyen 14, Petaling Jaya, berhampiran Digital Mall (terletak diatas Baker's Cottage yang sebaris dengan KFC dan Farmasi Guardian), dan dan satu lagi di SS15, Subang Jaya berhampiran dengan kolej-kolej seperti  Taylor's University, INTI University College dan Metropolitan College (terletak diatas Burger King yang sebaris dengan sebuah McDonald's).

Kenapa JOMAS? Mungkin kerana studionya terletak dekat dengan tempat kerja aku dan memudahkan perjalanan aku ke sana hampir setiap hari selepas kerja. Mungkin juga kerana suasana studio yang menyeronokkan dengan rakan-rakan pelatih yang dari pelbagai latarbelakang yang berbeza. Mungkin juga kerana sistem latihan dan cara pengajaran teknik-teknik disertai dengan penerangan yang logikal dan mudah diterima akal. Mungkin juga kerana karisma dan perwatakan ramah Guru yang dipanggil Kru Jak Othman.

Disini, buat pertama kali aku tidak berhenti belajar selepas beberapa sesi latihan, seperti yang berlaku di zaman persekolahan dimana aku lebih selesa berkawat ditengah panas dan menghidu bau belerang, atau dizaman kolej aku, apa benda aku buat pun aku tak tahu. Disini juga, selepas melakukan latihan Kickboxing, aku berpeluang mempelajari dan berlatih seni Silat Harimau Berantai yang sangat-sangat aku kagumi. Mempelajari asas-asas Kickboxing adalah salah satu pra-syarat untuk aku mengikuti ilmu perang dan seni beladiri Silat Harimau Berantai yang diajar sendiri oleh Guru Jak Othman.

Anda pula mungkin mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk memilih sesuatu studio atau kelab Kickboxing. Mulakanlah pencarian anda sekarang. Bawalah rakan-rakan anda, ahli keluarga anda atau pasangan hidup anda untuk berlatih Kickboxing bersama-sama.

Sekiranya anda telah menyertai mana-mana studio atau kelab Kickboxing dan ingin mencadangkan studio anda, sila tinggalkan komen dan cadangkan di bahagian ulasan.

Selamat berlatih!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Rabu, Oktober 07, 2009

Kickboxing; Pembakar Kalori yang Efisien

Dalam pos sebelum ini, aku nyatakan bahawa satu jam aktiviti Kickboxing dapat membakar tenaga antara 500 sehingga 800 kalori. Betulkah? Adakah angka ini boleh diterima?

Anggaran jumlah pembakaran tenaga ini aku dapat dari satu risalah yang dikeluarkan oleh American Council on Exercise pada tahun 2001.

Maklumat yang dipetik daripada buku The Fighter's Body: An Owner's Manual : Your Guide to Diet, Nutrition, Exercise and Excellence in the Martial Arts yang ditulis oleh Loren W. Christensen dan Wim Demeere juga memberi anggaran yang lebih kurang sama, dan mereka memberi beberapa anggaran mengikut berat individu yang berlatih Kickboxing.

Berikut adalah anggaran (berat pelatih / pembakaran tenaga) yang dipetik dari buku tersebut ;

110 paun - 548 kalori
125 paun - 613 kalori
150 paun - 678 kalori
175 paun - 743 kalori
200 paun - 808 kalori

Aku juga pernah cuba membuat bacaan pembakaran tenaga ketika melakukan latihan kickboxing sendiri. Berat aku pada waktu itu adalah lebihkurang 135 paun. Bacaan dibuat dengan menggunakan sebuah peranti pemantau kadar denyutan jantung jenama Suunto T1.



1000 tendangan libas keatas beg berat yang mengambil masa selama 2 jam 20 min pada 27 Disember 2008 mencatat pembakaran tenaga sebanyak 1506 kalori atau 645 kalori sejam.

Satu lagi bacaan dibuat ketika melakukan 2000 tendangan libas keatas beg berat selama 4 jam 8 minit pada 1 Januari 2009 dan tenaga yang dibakar adalah sebanyak 2768 kalori atau 670 kalori sejam.

Jadi, kesimpulannya, aku sudah buktikan pada diri aku sendiri yang anggaran pembakaran kalori yang diberikan adalah sangat munasabah, dan, Kickboxing adalah pembakar kalori yang efisien.

Selamat Berlatih!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Isnin, Oktober 05, 2009

Kickboxing. Kenapa?

Ada berbagai macam sebab untuk anda menyertai latihan Kickboxing. Diantaranya adalah;

1. Memiliki bentuk badan yang menarik

Latihan Kickboxing adalah aktiviti yang berkesan untuk membakar kalori dalam badan anda. Membakar antara 500 sehingga 800 kalori dalam tempoh sejam latihan Kickboxing adalah anggaran yang munasabah. Sekiranya disertakan dengan pemakanan yang betul, ia akan membantu anda membakar lemak yang berlebihan.

Latihan kombinasi menumbuk dan menendang bertubi-tubi ini mengaktifkan berbagai otot yang dalam keadaan biasa, adalah tidak aktif. Otot-otot akan lebih menonjol apabila lemak berlebihan dapat disingkirkan. Berat badan dapat diturunkan secara sihat dan Body Mass Index (BMI) yang ideal dapat dicapai, menghasilkan bentuk badan yang lebih mantap dan menarik.


2. Meningkatkan kecergasan

Jantung seseorang individu akan mengepam lebih laju semasa latihan Kickboxing sedang dijalankan untuk membolehkan darah membekalkan oksigen kepada semua otot-otot yang sedang bekerja keras dan memerlukan bekalan oksigen. Di dalam jangka masa panjang, latihan Kickboxing akan memberi kesan yang baik kepada kesihatan jantung dan akan meningkatkan kecergasan individu.

Kesihatan jantung dan kecergasan seseorang individu dapat ditentukan dengan mengambil bacaan nadi ketika individu itu berada dalam keadaan rehat. Dalam keadaan rehat, seseorang yang cergas akan mempunyai kadar denyutan jantung antara 60-75 denyutan seminit bagi lelaki, dan 60-80 denyutan seminit bagi wanita. Kadar denyutan jantung bagi individu yang sangat cergas pula, contohnya, seorang atlet profesional, adalah serendah 30 denyutan seminit.

Bagaimanapun, sila ambil perhatian, untuk memantau agar denyutan jantung tidak melebihi kadar denyutan jantung maksimum sewaktu melakukan latihan. (220 - umur anda = kadar denyutan jantung maksimum).


3. Menghilangkan stres

Latihan kickboxing yang sangat intensif dan mencabar menyebabkan bahan kimia semula jadi dalam badan yang dipanggil endorfin dirembeskan. Rembesan endorfin ini mempunyai kesan yang menyebabkan seseorang individu berasa girang, lalu,menghilangkan stres yang dirasai sebelum mula latihan.


4. Mempertahankan diri

Dalam keadaan yang genting seperti terdedah pada ancaman kekasaran, seseorang pelatih mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mempertahankan diri daripada dikasari. Walaubagaimanapun, ini bergantung kepada setakat mana latihan kickboxing itu diterapkan dengan latihan mempertahankan diri oleh jurulatih atau guru yang berpengetahuan luas dalam seni mempertahankan diri.


5. Membina keyakinan diri

Apabila sesorang pelatih telah mempunyai bentuk badan yang lebih mantap dan menarik, kecergasan yang baik, dan mempunyai kebolehan mempertahankan diri sendiri mahupun yang tersayang, sesiapapun pasti akan mempunyai keyakinan diri yang lebih teguh.


6. Menyeronokkan

Kepelbagaian kombinasi serangan tangan dan kaki, termasuk gerak langkah dan pertahanan menjadikan latihan Kickboxing tidak membosankan tetapi sangat menyeronokkan. Ianya bertambah menyeronokkan apabila dipasangkan lagu-lagu berentak rancak dan sorakan rakan-rakan latihan yang meniupkan semangat dan membuat pelatih lupa akan kepenatan yang dirasai.


7. Itu saja?

Ada banyak lagi sebab untuk mula berlatih Kickboxing, tetapi, secara peribadi, aku berlatih untuk kesihatan fizikal kerana aku percaya, kesihatan fizikal mendorong kepada kesihatan emosi dan mental. Emosi dan mental yang sihat pula mendorong kepada meningkatnya kesihatan spiritual. Boleh terima ke? Cubalah sendiri. Ajak kawan-kawan anda sekali.

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Sabtu, Oktober 03, 2009

Kickboxing?

Kickboxing, secara ringkasnya, adalah sukan tempur yang menggunakan tangan dan kaki sebagai senjata. Ada berbagai jenis kickboxing. yang bersandarkan aliran senibeladiri tradisional yang berbeza (seperti karate, sanda, muay thai) dan setiap satu mempunyai peraturan yang sedikit berbeza antara satu sama lain.

Untuk mengetahui dengan lebih terperinci, sila layari laman ini http://en.wikipedia.org/wiki/Kickboxing.

Secara peribadi, aku berlatih kickboxing dari aliran tomoi atau muay thai.

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Khamis, Oktober 01, 2009

Kickboxing Jom!

Salam semua.. Salam 1Malaysia.. Hehe..

Kickboxing Jom! Tunggu apa lagi, jom le..

Tak susah, senang juga.. Tak bosan, seronok juga.. Tak bahaya, selamat juga..

Kalau tak sedia lagi, boleh singgah dulu kat sini ok. Tengok-tengok, baca-baca, sembang-sembang, bincang-bincang kat kickboxingjom.blogspot.com

Ok.. Pasang niat.. Jumpa lagi.. :)

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.