Ahad, Januari 24, 2010

Sup Ayam Selepas Kickboxing Jom!


Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang! Tunggu apa lagi?

Badan rasa tidak berapa sedap semalam. Aku sampai di studio latihan awal. Sementara menunggu kelas bermula lakukan aktiviti memanaskan badan dan regangan. Setelah itu, aku capai tali lompat dan terus melakukan lompatan buat seketika sehingga Kru aku yang kebetulan berada disitu menyuruh aku berhenti dan melakukan latihan dengan Ceiling to Floor Ball, sebiji bola yang dihubungkan oleh dua tali yang disambung pada lantai dan siling.

Alat latihan yang juga dipanggil Double End Bag ini adalah sangat penting dalam latihan kerana ia melatih refleks pelatih.  Apabila ia ditumbuk, ia akan datang balik menghentam ke muka sekiranya peninju itu tidak bergerak ataupun bertahan dengan menepis ataupun melindungi muka. Ketika latihan itu, Kru aku memberi beberapa arahan kombinasi tumbukan kepada aku.  Bermacam-macam kombinasi latihan boleh dilakukan keatas alat ini. Bila serangan dilancarkan tepat, memang rasa seronok. Tetapi, sesekali, tumbukan kombinasi aku akan tersasar daripada bola dan Kru aku menasihatkan aku agar bertenang dan tidak perlu risau atau marah. Cuba dan cuba lagi. Ada sekali dalam latihan itu, aku telah ditumbuk di muka oleh bola itu kerana kecuaian aku, merendahkan tangan yang tidak menyerang. Padan muka aku sendiri!Tidak apa. Semoga aku akan ingat dan belajar dari kesilapan itu.

Aku berlatih dengan alat latihan ini sehingga waktu untuk latihan sebenar bermula.  Penat juga rasanya. Kru aku juga berpesan kepada aku untuk berlatih dengan bola ini setiap kali aku sampai ke studio sebelum kelas bermula. Ianya lebih baik daripada berlatih dengan tali lompat atau Jump Rope.  Latihan dengan bola ini akan memperbaiki teknik, dan ketepatan serangan tumbukan.

Selepas tamat kelas, badan aku rasa macam nak demam.  Jadi, dalam perjalanan pulang, aku singgah sebentar ke Restoran Nasi Kandar Pelita di SS2, Petaling Jaya.  Aku pesan sup ayam (dada), dicecah dengan roti, Teh 'C' kosong, dan segelas air suam yang aku masukkan sebiji tablet Redoxon yang mengandungi 1000mg Vitamin C dan 10mg Zinc, yang diberi oleh seorang teman dengan harapan badan aku akan rasa lebih baik keesokan harinya. Sedap, lega, dan sangat puas hati rasanya selepas sesi makan yang singkat itu. Alhamdulillah.


Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Isnin, Januari 18, 2010

Sabai-sabai


Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang! Tunggu apa lagi?



Ingat lagi pada Giorgio Petrosyan? Beliau yang baru ini telah ditabalkan sebagai juara K-1 Max 2009 menundukkan juara K-1 Max sebanyak dua kali, Andy Souwer. Video diatas menunjukkan bagaimana beliau menjalani latihan sparring. Mari kita saksikan bagaimana seorang juara menjalani latihan sparring.

Dapat dilihat bahawa latihan sparring yang beliau dan rakan-rakan pelatih lakukan adalah dalam keadaan yang sangat relaks dan terkawal. Tiada pukulan atau tendangan yang kuat. Tiada unsur ego, tunjuk hebat atau hendak menang, walaupun didalam gelanggang itu adalah seorang juara dunia. Semua yang menjalani latihan sparring berpeluang belajar dan mencuba teknik serangan dan pertahanan tanpa risiko kecederaan.

Di studio tempat aku berlatih, perkataan atau terma yang sering digunakan ketika latihan sparring ialah sabai-sabai. Ia bermakna relaks, bertenang, memberitahu pelatih untuk mengurangkan kekuatan serangan apabila latihan sparring kelihatan tidak terkawal ataupun terlalu kuat sehingga membawa risiko kecederaan ataupun kemarahan.

Beberapa hari lalu aku terjumpa satu tulisan blog MyMuayThai yang menarik tentang pengalaman sparring seorang pelatih Muay Thai dan bagaimana beliau mengelompokkan tiga jenis pelatih yang beliau kurang senang atau tidak mahu langsung berdepan semasa latihan sparring.

Latihan sparring bukan untuk menentukan siapa hebat, atau untuk menguji kekuatan serangan. Latihan sparring memerlukan kawalan diri, kawalan pada serangan, sebaiknya pada 30-35 peratus kekuatan maksima. Komunikasi juga sangat penting dalam latihan sparring. Sekiranya anda rasa rakan latihan sparring menyerang terlalu kuat, jangan simpan dalam hati sehingga menjadi marah dan dendam, beritahu rakan anda untuk mengurangkan kekuatan serangan. Video diatas contoh yang baik bagaimana latihan sparring harus dilakukan.

Sebagai bonus, aku sertakan video muzik lagu Siam bertajuk Sabai-Sabai nyanyian ThongChai McIntyre. Selain kerana ianya bersesuaian dengan entri kali ini, ianya juga ditujukan kepada diri aku sendiri yang sejak kebelakangan ini agak kalut dengan kerja di pejabat, sehingga tidak dikemaskini sekian lama.

Sabai-sabai.. Dude.. (bercakap ala Jeffry The Dude Lebowsky dalam filem yang mencapai taraf kultus tahun 1998, The Big Lebowsky, arahan bersama, Coen bersaudara..)





Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Ahad, Januari 03, 2010

Perlawanan Terakhir Masato


Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang! Tunggu apa lagi?

Pada 31 Disember 2009 yang lalu, berlaku satu perlawanan penting pada kejohanan K-1 Dynamite 2009 di negara matahari terbit. Perlawanan ini adalah perlawanan terakhir seorang jaguh Kickboxing Jepun, yang telah mengisytiharkan persaraannya dari arena Kickboxing pada kemuncak kerjayanya.  Nama yang sinonim dengan kejohanan K-1 Max itu ialah, tidak lain dan tidak bukan, Masato Kobayashi, atau lebih dikenali sebagai Masato.

Untuk perlawanan terakhirnya, Masato telah menjemput Juara K-1 Max 2009, Giorgio Petrosyan untuk bertarung di gelanggang. Walaubagaimanapun, kecederaan tangan Petrosyan dalam merebut kejuaraanya itu telah memaksa beliau berundur daripada pertembungan di atas gelanggang menentang Masato. Jadi, untuk perlawanan terakhir ini, Masato telah bertemu juara K-1 Max sebanyak dua kali, yang telah tewas di tangan juara tahun ini, Andy Souwer.

Andy Souwer, sememangnya bukan calang-calang lawan. Masato telah ditewaskan oleh Andy Souwer sebanyak dua kali pada kejohanan K-1 Max 2006 dan 2007, maka sememangnya pada perlawanan ini, perlawanan terakhirnya adalah peluang terakhir Masato untuk membalas kekalahannya kepada Souwer.

Perlawanan yang sangat menarik dengan pameran skil peringkat tinggi telah ditonjolkan oleh kedua belah pihak. Saksikannya sekarang!

Bahagian 1


Bahagian 2



Bagaimana? Apa pendapat anda? Sila berikan komen anda di ruangan komen ya! Semoga video diatas menaikkan semangat anda untuk berlatih Kickboxing.
Selamat berlatih dan Selamat Tahun Baru 2010.  Semoga anda berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh pada tahun 2010 ini. Ajaklah rakan-rakan anda, ahli keluarga ataupun sesiapa yang anda jumpa dalam perjalanan ke studio latihan untuk berlatih Kickboxing bersama. Katakan kepada mereka...

...Kickboxing Jom!

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Jumaat, Januari 01, 2010

Lughotul Arabiyah dan Kickboxing


Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang! Tunggu apa lagi?

Salah satu perkara yang aku suka tentang studio Kickboxing tempat aku berlatih adalah ahli-ahlinya. Mereka mempunyai latar belakang yang berbeza-beza dari segi umur, pekerjaan, kaum, agama, kerakyatan dan bermacam-macam lagi. Perbezaan dan kepelbagaian ini membuatkan aku seronok untuk mengetahui lebih mendalam mengenai mereka. Jadi, aku boleh katakan yang aku datang ke studio Kickboxing bukan hanya untuk belajar Kickboxing atau ilmu bela diri, tetapi aku belajar mengenai macam-macam perkara seperti budaya dan juga bahasa mereka yang lain daripada aku.

Di studio tempat aku berlatih, ada seorang pelajar Universiti Malaya bidang kajian genetik yang berasal dari kota Makkah, Arab Saudi bernama Musa. Beliau, aku rasa masih baru menyertai studio latihan kami, barangkali sudah masuk bulan ketiganya bersama kami.  Setelah mengenali sedikit latarbelakangnya, aku menyatakan hasrat aku untuk belajar bahasa Arab. Sebenarnya aku pernah mengambil kursus bahasa Arab selama lebih setahun yang dianjurkan oleh Unversiti Islam Antarabangsa di Petaling Jaya, tetapi kerana tiada peruntukan lebih dari segi kewangan untuk aktiviti ini, aku tidak lagi menyertai kelas belajar bahasa Arab. Setelah sekian lama, apa yang aku telah pelajari semakin hilang dari ingatan, kerana tiada lagi peluang interaksi dan latihan komunikasi dalam bahasa yang indah ini sebagaimana yang aku perolehi didalam suasana kelas bahasa Arab.

Jadi, aku cuba meminta bantuan saudara Musa untuk memberi sedikit pendedahan terhadap bahasa ini bila ada kesempatan dan beliau bersetuju asalkan aku benar-benar ingin mempelajari bahasa ini. Setiapkali aku bertemu saudara Musa di studio, beliau akan memberi aku beberapa patah perkataan dalam bahasa Arab yang ditulis didalam buku nota aku dan aku ditugaskan untuk mencari makna perkataan itu. Oleh itu, setiapkali sebelum aku meninggalkan pejabat untuk ke studio latihan, aku akan bertungkus-lumus menyelak buku tebal Kamus At-Tulab milik aku dan cuba sedaya upaya untuk menyiapkan tugasan mencari makna perkataan-perkataan yang diberi oleh guru bahasa aku yang baru ini, saudara Musa.

Shukran jazilan ya akhi Musa. Barakallahu fik.

Oh ya! Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua.

Bookmark and Share


Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.