Jumaat, Januari 01, 2010
Lughotul Arabiyah dan Kickboxing
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang! Tunggu apa lagi?
Salah satu perkara yang aku suka tentang studio Kickboxing tempat aku berlatih adalah ahli-ahlinya. Mereka mempunyai latar belakang yang berbeza-beza dari segi umur, pekerjaan, kaum, agama, kerakyatan dan bermacam-macam lagi. Perbezaan dan kepelbagaian ini membuatkan aku seronok untuk mengetahui lebih mendalam mengenai mereka. Jadi, aku boleh katakan yang aku datang ke studio Kickboxing bukan hanya untuk belajar Kickboxing atau ilmu bela diri, tetapi aku belajar mengenai macam-macam perkara seperti budaya dan juga bahasa mereka yang lain daripada aku.
Di studio tempat aku berlatih, ada seorang pelajar Universiti Malaya bidang kajian genetik yang berasal dari kota Makkah, Arab Saudi bernama Musa. Beliau, aku rasa masih baru menyertai studio latihan kami, barangkali sudah masuk bulan ketiganya bersama kami. Setelah mengenali sedikit latarbelakangnya, aku menyatakan hasrat aku untuk belajar bahasa Arab. Sebenarnya aku pernah mengambil kursus bahasa Arab selama lebih setahun yang dianjurkan oleh Unversiti Islam Antarabangsa di Petaling Jaya, tetapi kerana tiada peruntukan lebih dari segi kewangan untuk aktiviti ini, aku tidak lagi menyertai kelas belajar bahasa Arab. Setelah sekian lama, apa yang aku telah pelajari semakin hilang dari ingatan, kerana tiada lagi peluang interaksi dan latihan komunikasi dalam bahasa yang indah ini sebagaimana yang aku perolehi didalam suasana kelas bahasa Arab.
Jadi, aku cuba meminta bantuan saudara Musa untuk memberi sedikit pendedahan terhadap bahasa ini bila ada kesempatan dan beliau bersetuju asalkan aku benar-benar ingin mempelajari bahasa ini. Setiapkali aku bertemu saudara Musa di studio, beliau akan memberi aku beberapa patah perkataan dalam bahasa Arab yang ditulis didalam buku nota aku dan aku ditugaskan untuk mencari makna perkataan itu. Oleh itu, setiapkali sebelum aku meninggalkan pejabat untuk ke studio latihan, aku akan bertungkus-lumus menyelak buku tebal Kamus At-Tulab milik aku dan cuba sedaya upaya untuk menyiapkan tugasan mencari makna perkataan-perkataan yang diberi oleh guru bahasa aku yang baru ini, saudara Musa.
Shukran jazilan ya akhi Musa. Barakallahu fik.
Oh ya! Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua.
Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan