Memaparkan catatan dengan label Teknik Pernafasan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknik Pernafasan. Papar semua catatan

Isnin, November 02, 2009

Kombinasi Jab-Cross

Anda telah berlatih menggunakan Jab, dan anda juga telah berlatih menggunakan Cross. Sekarang, cuba gunakan kombinasi kedua-dua tumbukan ini dalam satu serangan.

Sebagai contoh, dari posisi Fighting Stance, langkah kehadapan, lancarkan kombinasi 1-2 Jab-Cross, setelah itu, langkah kebelakang dan kembali ke posisi Fighting Stance. Cuba beberapa kali.

Setelah mencuba kombinasi diatas, tambah bilangan kombinasi Jab-Cross-Jab-Cross atau lebih mudah dipanggil Jab-Cross 4. Dari posisi Fighting Stance, langkah kehadapan, lancarkan kombinasi Jab-Cross 4, langkah kebelakang dan kembali ke posisi Fighting Stance. Semasa melancarkan kombinasi tumbukan, jangan lupa untuk pusingkan badan dan kaki diatas bebola tapak kaki sambil mengaplikasi teknik pernafasan yang telah dibincangkan sebelum ini. Cuba lakukan Jab-Cross 4 sebanyak beberapa set.

Setelah mencuba Jab-Cross 4, cuba pula kombinasi Jab-Cross 8 untuk beberapa set, dan seterusnya kombinasi Jab-Cross 16 beberapa set. Setelah itu, cuba pula kombinasi Jab-Cross 32 sebanyak dua hingga empat set. Akhir sekali cuba pula Jab-Cross 64 sebanyak satu atau dua set.

Latihan yang dicadangkan diatas akan membantu memperbaiki teknik tumbukan Jab, dan Cross dan pada masa yang sama membakar kalori dalam badan. Walaubagaimanapun, adalah penting untuk anda melakukan aktiviti memanaskan badan dan regangan sebelum latihan ini dijalankan. Teknik pernafasan juga adalah penting agar anda dapat mengekalkan stamina sepanjang latihan.



Anda boleh cuba latihan diatas tanpa sebarang kelengkapan dengan melakukannya secara tumbukan bayang atau Shadowboxing dihadapan cermin. Sekiranya anda berlatih di studio Kickboxing dan mempunyai kelengkapan lengkap seperti pembalut tangan, sarung tinju, anda boleh melakukan latihan tubi diatas secara berpasangan dengan rakan pelatih yang akan memegang focus pads sebagai sasaran. Anda juga boleh berlatih secara sendirian dengan melancarkan tumbukan kombinasi keatas beg berat yang anda boleh juga menganggapnya sebagai seorang rakan berlatih di studio. ;-)

Selamat berlatih!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Jumaat, Oktober 30, 2009

Tumbukan Cross

Satu lagi senjata penting seorang pelatih Kickboxing adalah tumbukan Cross. Dalam kombinasi klasik satu-dua sukan ini, tumbukan Jab yang dibincang sebelum ini sering diikuti dengan tumbukan Cross kerana ia merupakan senjata ampuh yang kerap menyebabkan lawan tumpas secara knockout di gelanggang.

Walaupun Cross bertindak sebagai pemusnah lawan, harus diingat bahawa tumbukan ini tidak selaju tumbukan Jab. Lawan akan sempat melihat Cross datang kearahnya dan mengambil tindakan pertahanan seperti menepis atau mengelak sepenuhnya.

Seperti tumbukan Jab, mulakan dengan mengambil posisi Fighting Stance. Sekiranya pelatih menggunakan posisi Fighting Stance yang ortodoks, tumbukan Cross dilancarkan menggunakan tangan kanan, iaitu tangan yang berada di belakang. Dari posisi Fighting Stance, pusingkan badan dan kaki kiri dipusing sedikit ke kanan di atas bebola tapak kaki. Tangan kiri diletakkan rapat diatas pipi kiri sambil melindungi rusuk kiri. Tangan kanan pula sentiasa di angkat dan berada dalam keadaan sedia untuk dilancarkan.

Apabila bersedia, pusingkan kaki kanan sebanyak 30 darjah kedalam, dan lancarkan tumbukan kanan sambil buku lima diputarkan kedalam, dengan pantas pada sasaran. Seperti melancarkan tumbukan Jab, pastikan semasa Cross dilancarkan, anda mengaplikasi teknik pernafasan yang betul sambil tangan kiri anda melindungi muka dan rusuk kiri anda. Setelah itu, kembali ke kedudukan Fighting Stance dan bersedia untuk melancarkan serangan yang sama, yang lain ataupun mengambil langkah bertahan.

Berlatihlah dengan mengulanginya beribu-ribu kali sehingga sebati dalam diri anda.

Selamat berjuang!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Rabu, Oktober 28, 2009

Tumbukan Jab

Jab adalah salah satu tumbukan yang paling penting dalam Kickboxing. Walaupun tumbukan jab bukan senjata yang paling kuat, ia adalah senjata tangan yang paling hampir dengan anggota lawan. Ia sesuai digunakan sebagai serangan pembuka bagi serangan yang seterusnya daripada anggota tangan yang lain ataupun kaki.

Ketika diserang lawan, tumbukan Jab yang lurus, mudah, dan laju, sesuai digunakan untuk mengganggu rentak lawan. Setelah serangan lawan dapat dipatahkan, tumbukan Jab seharusnya diikuti dengan serangan-serangan lain yang lebih bisa daripada tangan belakang mahupun kaki.

Secara asasnya, sekiranya pelatih menggunakan Fighting Stance yang ortodoks, tumbukan Jab dilancarkan menggunakan tangan kiri kerana ianya berada di hadapan, dan paling hampir pada anggota lawan. Dari posisi Fighting Stance, pusingkan badan dan kaki kanan dipusing sedikit ke kiri di atas bebola tapak kaki. Tangan kanan diletakkan rapat diatas pipi kanan sambil melindungi rusuk kanan. Tangan kiri pula sentiasa di angkat dan berada dalam keadaan sedia untuk dilancarkan.

Apabila bersedia, pusingkan kaki kiri sebanyak 30 darjah kedalam, dan lancarkan tumbukan kiri sambil buku lima diputarkan kedalam, dengan pantas pada sasaran. Pastikan semasa Jab dilancarkan, anda mengaplikasi teknik pernafasan yang betul sambil tangan kanan anda melindungi muka dan rusuk kanan anda. Setelah itu, kembali ke kedudukan Fighting Stance dan bersedia untuk melancarkan serangan yang sama, yang lain ataupun mengambil langkah bertahan.

Berlatihlah dengan mengulanginya beribu-ribu kali sehingga sebati dalam diri anda.

Selamat mencuba!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Jumaat, Oktober 23, 2009

Teknik Pernafasan

Satu perkara yang anda perlu tahu semasa berlatih Kickboxing ialah teknik pernafasan yang betul. Ianya perlu untuk mengelakkan diri anda daripada melihat bintang-bintang didalam studio, atau dengan kata lain, mengelakkan anda pitam semasa latihan sedang dijalankan. Selain daripada mengekalkan stamina semasa latihan, penggunaan teknik pernafasan yang betul juga membolehkan anda membuat serangan-serangan yang lebih kuat dan padu.

Cara bernafas yang betul ialah dengan menyedut udara melalui hidung dan menghembus keluar ia melalui mulut. Ia perlu dilakukan secara terkawal, iaitu, bernafas secara perlahan agar oksigen dapat dibekalkan secara maksima ke seluruh otot-otot anda yang sedang bekerja keras.

Jangan tahan nafas anda setiapkali melakukan serangan. Sebaliknya, lepaskan nafas anda dengan cepat sambil mengeluarkan bunyi seperti 'thsss' atau sebagainya. Kesannya, adalah tumbukan atau tendangan yang lebih kuat dan padu. Selain daripada itu, dengan mempraktikkannya, secara tidak langsung, anda akan memaksa diri anda untuk kembali menarik nafas.

Apabila sedang penat berlatih, anda mungkin akan lupa untuk bernafas dengan betul. Anda mungkin akan bernafas melalui mulut sahaja, dan tidak lagi menarik nafas melalui hidung. Elakkan perkara ini daripada berlarutan. Paksa diri anda untuk mengawal pernafasan anda agar ianya kembali teratur. Ingat, pernafasan yang betul ialah dengan menyedut udara melalui hidung dan menghembus keluar ia melalui mulut.

Selamat berlatih dan pastikan anda bernafas dengan betul!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.