Isnin, Oktober 12, 2009

Lindungi Tangan Anda

Sudahkah anda mula mencari studio atau kelab kickboxing? Sudahkah anda menjumpai tempat latihan yang sesuai dengan anda? Sudahkah anda mendaftarkan diri anda di studio atau kelab latihan tersebut? Jika semua jawapannya adalah 'Ya', syabas aku ucapkan kepada anda.

Antara kelengkapan yang paling awal yang anda perlukan apabila mula menyertai sesi latihan Kickboxing adalah sepasang Pembalut Tangan atau Handwraps. Ia adalah aksesori sukan Kickboxing yang dililit membaluti sekeliling pergelangan, buku lima, dan kedua belah tangan anda. Ia bertindak melindungi tulang dan sendi di tangan ada sewaktu melakukan latihan menumbuk dalam sukan Kickboxing.



Pembalut Tangan atau Handwraps biasanya diperbuat daripada 100% kain kapas, ataupun campuran 67% nylon dan 33% kain kapas. Panjangnya pula biasanya lebihkurang 110-120 inci, ataupun 170-180 inci. Pembalut Tangan yang diperbuat daripada 100% kain kapas adalah lebih tahan lasak dan memberikan sokongan maksima kepada pergelangan, buku lima dan kedua belah tangan anda. Manakala Pembalut Tangan yang diperbuat daripada campuran nylon dan kain kapas pula boleh diregangkan dan lebih fleksibel meliliti sekeliling tangan anda, memudahkan anda memakainya dengan lebih kemas.

Aku mempunyai kedua-dua jenis Pembalut Tangan yang dinyatakan diatas. Secara peribadi, walaupun Pembalut Tangan yang diperbuat daripada 100% kain kapas dikatakan lebih tahan lasak, aku kurang menggemarinya kerana ia akan jadi tidak kemas setelah separuh masa kelas berjalan. Ini sangat mengganggu sesi latihan aku kerana terpaksa membuka dan mengemaskan kembali lilitan sekeliling tangan aku. Leceh! Pembalut Tangan campuran nylon dan kapas pula adalah lebih mudah dan kemas untuk dipakai sehingga akhir perjalanan sesi latihan.


Cara Memakai

Mula-mula, hulurkan tangan anda dengan tapak tangan kebawah dan jari-jemari anda dijarakkan antara satu sama lain. Kemudian, sangkutkan penyangkut di pangkal Pembalut Tangan itu ke ibu jari anda.



Setelah itu, lilitkan sekeliling pergelangan tangan anda sebanyak 2-3 kali lilitan dengan kemas. Jangan lilit pergelangan tangan anda terlalu ketat sehingga mengganggu perjalanan darah anda.



Kemudian, bawa lilitan itu melalui belakang tapak tangan anda ke sebelah luar telapak tangan di paras buku lima, dan lalukan ia di antara jari kelingking dan jari manis anda melalui belakang tapak tangan anda, ke pergelangan tangan dibawah ibu jari anda.



Dari situ, teruskan pula melalui tapak tangan anda ke celah antara jari manis dan jari hantu anda terus ke pergelangan tangan, di bawah ibu jari anda.



Ulangi langkah tadi ke celah jari seterusnya iaitu antara jari hantu dan jari telunjuk anda.



Dari situ bawa ia meliliti bawah ibu jari anda, melalui tapak tangan anda ke tepi jari kelingking anda.



Lilitkan pula sekeliling buku lima anda sebanyak 2-3 kali.





Selepas itu, dari paras buku lima sebelah jari kelingking anda, bawa lilitan itu melintang ke pergelangan tangan bawah ibu jari anda melalui belakang tapak tangan anda, kemudian, ke pergelangan tangan bawah jari kelingking anda, bawa melintang naik semula ke paras buku lima di sebalah jari kelingking anda (Perhatikan lilitan melintang membentuk silang 'X' di belakang tapak tangan anda).



Dari situ, bawa melalui tapak tangan anda ke sebelah jari kelingking di paras buku lima dan lakukan lilitan yang membawa bentuk 'X' itu sekali lagi. (Pastikan jari-jemari anda dijarakkan semasa ini dilakukan, dan sesekali kepalkan tangan anda dan jarakkan semula jari-jemari anda untuk memastikan lilitan adalah selesa dan kemas)



Akhirnya, habiskan lilitan itu di sekeliling pergelangan tangan anda dengan menutup kemas velcro yang disediakan di hujung Pembalut Tangan anda. Perlu diingatkan sekali lagi, jangan balut sekeliling tangan anda terlalu ketat sehingga mengganggu perjalanan darah anda.



Bagaimana? Mudah? Lindungi tangan anda, dan selamat mencuba!


Nota Tambahan

Sila ambil perhatian agar tidak memasukkan Pembalut Tangan anda bersama-sama pakaian yang lain terutamanya yang berwarna putih ataupun cerah. Ini kerana setiap kali aku rendam Pembalut Tangan aku, warnanya akan pasti luntur.

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Tiada ulasan: