Di laman forum Martialarts.com.my, ada senarai studio atau kelab Kickboxing yang terdapat di sekitar Lembah Klang, dan juga di seluruh Malaysia. Tetapi aku pasti, masih banyak studio yang tidak tersenarai didalam laman forum senibeladiri itu. Bagaimanapun, cuba mulakan carian anda di laman forum itu dahulu. Selain daripada itu, tanyalah rakan anda sekira ada diantara mereka telah menyertai latihan di mana-mana studio atau kelab Kickboxing. Pengalaman peribadi mereka juga adalah penting untuk anda menentukan studio mana patut anda sertai. Anda juga mungkin mahu cuba mencari studio yang berhampiran dengan rumah atau tempat kerja anda.
Setelah dikenalpasti, anda pergilah melawat studio-studio itu dan membuat segala pertanyaan yang akan menjawab sebarang kemusykilan anda, seperti berapakah yuran bayaran mereka. Anda juga mungkin boleh meninjau persekitaran, dan kelengkapan studio mereka. Mungkin, anda akan diberi peluang memerhatikan perjalanan kelas, atau mungkin juga mendapat satu sesi percubaan latihan Kickboxing secara percuma. Sekiranya anda memilih untuk menyertai latihan percubaan percuma itu, pakailah pakaian yang longgar dan selesa, makan secukupnya beberapa jam sebelum latihan, bawa sebotol air mineral yang besar, dan tinggalkan sebarang ilmu beladiri yang telah anda pelajari sebelum ini dirumah, demi memudahkan pembelajaran.
Aku berlatih di Jak Othman Martial Arts Studio (JOMAS) yang mempunyai dua cawangan, satu di Seksyen 14, Petaling Jaya, berhampiran Digital Mall (terletak diatas Baker's Cottage yang sebaris dengan KFC dan Farmasi Guardian), dan dan satu lagi di SS15, Subang Jaya berhampiran dengan kolej-kolej seperti Taylor's University, INTI University College dan Metropolitan College (terletak diatas Burger King yang sebaris dengan sebuah McDonald's).
Kenapa JOMAS? Mungkin kerana studionya terletak dekat dengan tempat kerja aku dan memudahkan perjalanan aku ke sana hampir setiap hari selepas kerja. Mungkin juga kerana suasana studio yang menyeronokkan dengan rakan-rakan pelatih yang dari pelbagai latarbelakang yang berbeza. Mungkin juga kerana sistem latihan dan cara pengajaran teknik-teknik disertai dengan penerangan yang logikal dan mudah diterima akal. Mungkin juga kerana karisma dan perwatakan ramah Guru yang dipanggil Kru Jak Othman.
Disini, buat pertama kali aku tidak berhenti belajar selepas beberapa sesi latihan, seperti yang berlaku di zaman persekolahan dimana aku lebih selesa berkawat ditengah panas dan menghidu bau belerang, atau dizaman kolej aku, apa benda aku buat pun aku tak tahu. Disini juga, selepas melakukan latihan Kickboxing, aku berpeluang mempelajari dan berlatih seni Silat Harimau Berantai yang sangat-sangat aku kagumi. Mempelajari asas-asas Kickboxing adalah salah satu pra-syarat untuk aku mengikuti ilmu perang dan seni beladiri Silat Harimau Berantai yang diajar sendiri oleh Guru Jak Othman.
Anda pula mungkin mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk memilih sesuatu studio atau kelab Kickboxing. Mulakanlah pencarian anda sekarang. Bawalah rakan-rakan anda, ahli keluarga anda atau pasangan hidup anda untuk berlatih Kickboxing bersama-sama.
Sekiranya anda telah menyertai mana-mana studio atau kelab Kickboxing dan ingin mencadangkan studio anda, sila tinggalkan komen dan cadangkan di bahagian ulasan.
Selamat berlatih!
Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.
0 comments:
Catat Ulasan