Isnin, Oktober 05, 2009

Kickboxing. Kenapa?

Ada berbagai macam sebab untuk anda menyertai latihan Kickboxing. Diantaranya adalah;

1. Memiliki bentuk badan yang menarik

Latihan Kickboxing adalah aktiviti yang berkesan untuk membakar kalori dalam badan anda. Membakar antara 500 sehingga 800 kalori dalam tempoh sejam latihan Kickboxing adalah anggaran yang munasabah. Sekiranya disertakan dengan pemakanan yang betul, ia akan membantu anda membakar lemak yang berlebihan.

Latihan kombinasi menumbuk dan menendang bertubi-tubi ini mengaktifkan berbagai otot yang dalam keadaan biasa, adalah tidak aktif. Otot-otot akan lebih menonjol apabila lemak berlebihan dapat disingkirkan. Berat badan dapat diturunkan secara sihat dan Body Mass Index (BMI) yang ideal dapat dicapai, menghasilkan bentuk badan yang lebih mantap dan menarik.


2. Meningkatkan kecergasan

Jantung seseorang individu akan mengepam lebih laju semasa latihan Kickboxing sedang dijalankan untuk membolehkan darah membekalkan oksigen kepada semua otot-otot yang sedang bekerja keras dan memerlukan bekalan oksigen. Di dalam jangka masa panjang, latihan Kickboxing akan memberi kesan yang baik kepada kesihatan jantung dan akan meningkatkan kecergasan individu.

Kesihatan jantung dan kecergasan seseorang individu dapat ditentukan dengan mengambil bacaan nadi ketika individu itu berada dalam keadaan rehat. Dalam keadaan rehat, seseorang yang cergas akan mempunyai kadar denyutan jantung antara 60-75 denyutan seminit bagi lelaki, dan 60-80 denyutan seminit bagi wanita. Kadar denyutan jantung bagi individu yang sangat cergas pula, contohnya, seorang atlet profesional, adalah serendah 30 denyutan seminit.

Bagaimanapun, sila ambil perhatian, untuk memantau agar denyutan jantung tidak melebihi kadar denyutan jantung maksimum sewaktu melakukan latihan. (220 - umur anda = kadar denyutan jantung maksimum).


3. Menghilangkan stres

Latihan kickboxing yang sangat intensif dan mencabar menyebabkan bahan kimia semula jadi dalam badan yang dipanggil endorfin dirembeskan. Rembesan endorfin ini mempunyai kesan yang menyebabkan seseorang individu berasa girang, lalu,menghilangkan stres yang dirasai sebelum mula latihan.


4. Mempertahankan diri

Dalam keadaan yang genting seperti terdedah pada ancaman kekasaran, seseorang pelatih mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mempertahankan diri daripada dikasari. Walaubagaimanapun, ini bergantung kepada setakat mana latihan kickboxing itu diterapkan dengan latihan mempertahankan diri oleh jurulatih atau guru yang berpengetahuan luas dalam seni mempertahankan diri.


5. Membina keyakinan diri

Apabila sesorang pelatih telah mempunyai bentuk badan yang lebih mantap dan menarik, kecergasan yang baik, dan mempunyai kebolehan mempertahankan diri sendiri mahupun yang tersayang, sesiapapun pasti akan mempunyai keyakinan diri yang lebih teguh.


6. Menyeronokkan

Kepelbagaian kombinasi serangan tangan dan kaki, termasuk gerak langkah dan pertahanan menjadikan latihan Kickboxing tidak membosankan tetapi sangat menyeronokkan. Ianya bertambah menyeronokkan apabila dipasangkan lagu-lagu berentak rancak dan sorakan rakan-rakan latihan yang meniupkan semangat dan membuat pelatih lupa akan kepenatan yang dirasai.


7. Itu saja?

Ada banyak lagi sebab untuk mula berlatih Kickboxing, tetapi, secara peribadi, aku berlatih untuk kesihatan fizikal kerana aku percaya, kesihatan fizikal mendorong kepada kesihatan emosi dan mental. Emosi dan mental yang sihat pula mendorong kepada meningkatnya kesihatan spiritual. Boleh terima ke? Cubalah sendiri. Ajak kawan-kawan anda sekali.

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Tiada ulasan: