Selasa, Disember 29, 2009

Youtube.com dan Kickboxing


Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang! Tunggu apa lagi?

Aku ingat lagi semasa aku masih kemaruk berlatih Kickboxing di studio, aku akan datang ke studio berlatih menumbuk dan menendang beg beberapa jam sendirian. Hanya aku, pemain cakera padat, beg berat, dan beberapa peralatan lain yang menemani aku berlatih.

Tapi, apa yang buat aku bersemangat sangat hendak berlatih?  Kalau anda hendak tahu, salah satu jawapannya adalah melawat laman video Youtube.com :-)

Image representing YouTube as depicted in Crun...Image via CrunchBase
Youtube.com menjadi salah satu sumber inspirasi dan sumber maklumat penting tentang Kickboxing. Bermacam-macam maklumat berkaitan Kickboxing seperti acara-acara menarik dan terkini, personaliti sukan dan teknik-teknik yang mereka gunakan.

Sebelum aku terjebak dengan demam Facebook, aku dijangkiti demam Youtube buat sekian lama. Demamnya masih belum hilang lagi sebenarnya. Cuma ianya menjadi sedikit lengai kebelakangan ini.

Ada beberapa video yang sering membuat aku menjadi begitu bersemangat untuk berlatih selepas menontonnya.  Salah satu video yang paling berkesan menaikkan semangat Kickboxing aku ialah video kemuncak Ramon 'The Diamond' Dekkers yang dimainkan bersama lagu Eminem sebagai muzik latar.  Menonton video ini membuat jantung aku berdegup kencang dan tak sabar untuk bangun awal pagi esoknya untuk berlari beberapa kilometer sebelum memulakan latihan menendang dan menumbuk beg berat di studio Kickboxing sehinggalah aku tidak berdaya mengangkat kaki dan tangan aku lagi.



Bagaimana? Adakah anda mendapat kesan yang sama sebagaimana yang aku rasa?

Semoga tahun 2010 yang mendatang membawa azam baru dan semangat baru yang telah seketika agak merundum buat aku. Semoga video ini dan video-video Kickboxing lain di Youtube dapat membantu menaikkan kembali semangat anda ke arah yang sama seperti yang aku harapkan buat diri aku sendiri.

Selamat berjuang!




Bookmark and Share



Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.


Reblog this post [with Zemanta]

Khamis, Disember 24, 2009

Hayunan Kaki Wanita


Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang!  Jangan tunggu lagi!

Pada hari Jumaat lepas, enam orang wanita berumur diantara 18 sehingga 30 tahun telah melepaskan sejumlah 3600 tendangan diantara jam 2 petang sehingga 10 malam dalam satu percubaan peringkat awal untuk memecahkan rekod-rekod jumlah tendangan yang telah dilakukan sebelum ini yang pernah dicatatkan di Malaysian Books of Records.

Kesemua wanita yang terlibat dalam percubaan ini telah menampakkan semangat juang yang tinggi dan tidak mengalah. Kejayaan mereka juga telah didorong oleh rakan-rakan sepelatih yang telah membantu dari segi masa, tenaga, sokongan moral dan teknik tendangan.



Dari Album Foto Saturnspider

Kickboxing Jom! mengucapkan syabas diatas kejayaan awal mereka. Tingkatkan semangat dan gandakan usaha kalian. Semoga rekod tendangan baru Malaysia mahupun Dunia bakal dipecahkan dengan jaya dan penuh gemilang.

Nantikan hayunan kaki wanita-wanita ini yang bakal menggegarkan tahun 2010 nanti!


Bookmark and Share




Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Ahad, Disember 20, 2009

Denggi, Kickboxing dan Maria Gadis Koptik


Jualan Akhir Tahun! Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang!

Kebelakangan ini, aku lihat, siaran televisyen sering menyiarkan pesanan khidmat masyarakat tentang ancaman Denggi. Jadi, apabila amaran telah dikeluarkan, kita hendaklah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menghapuskan ancaman ini sebelum terlambat.  Tempat-tempat yang mungkin menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes hendaklah dibersihkan sebelum ianya menjadi ancaman terhadap kesihatan. 

Aedes aegypti
Image via Wikipedia
Baru-baru ini ada juga seorang kawan bertanya tentang tanda-tanda denggi, kerana dia mengesyaki yang dirinya telah dijangkiti.  Nasib baik dia hanya kena demam biasa sahaja. Aku sebenarnya panik juga apabila kawan aku suspek dirinya dijangkiti kerana aku tahu bagaimana rasanya menghidap demam Denggi. Sengsara.

Kejadian itu berlaku antara bulan Mei dan Jun 2008, tidak silap aku. Aku tidak berapa ingat bagaimana ianya berlaku. Pada satu malam, aku badan aku rasa menggigil dengan teruk. Demam panas, sakit otot dan sendi, cirit birit, muntah-muntah dan menggigil teruk. Memang malam itu, terlintas di fikiran yang ajal bakal menjemput. Begitulah rasanya. Sehinggakan, tiba-tiba, antara sedar dengan tidak, nyata dan mimpi, aku bagaikan terdengar suara memberitahu aku yang aku diberi satu lagi peluang. Jangan sia-siakan.

Alhamdulillah, pagi itu aku sedar dari tidur. Kepala aku terasa sakit yang amat sangat. Aku paksa diri aku untuk bangun untuk mendapatkan rawatan di klinik di bangunan pejabat tempat aku bekerja.  Ketika mendapat rawatan, Doktor mengatakan suhu badan aku sangat tinggi. Kesakitan kepala melampau yang aku alami membuatkan aku tidak sedar yang suhu badan aku sudah sangat tinggi. Doktor juga memberitahu aku tentang bintik-bintik merah yang kelihatan di  badan aku.  Doktor mengesyaki aku menghidap penyakit denggi dan mengarahkan aku untuk segera membuat ujian darah di SJMC.

Aku membuat ujian darah di SJMC dan hanya disahkan menghidap Denggi beberapa minggu setelah berulangkali membuat ujian darah di sana. Ada baiknya juga kerana, aku tidak perlu dimasukkan ke wad. Nasib baik juga bil perubatan aku dibiayai sepenuhnya oleh syarikat. Kalau tidak, memang aku tidak mampu membiayai kos rawatan aku sendiri. Aku bersyukur.

Semasa aku dijangkiti, aku dinasihatkan oleh Doktor di SJMC untuk berehat dan tidak melakukan apa-apa aktiviti yang berat dan intensif.  Ketika itu, aku sudah setahun menjalani latihan kickboxing dan aku dah masuk fasa kemaruk kickboxing.  Tapi apa kan daya. Aku memang tidak berdaya. Tiada kudrat dan kekuatan langsung walaupun untuk berjalan keluar untuk makan. Aku rasa, aku ambil masa lebih daripada sebulan sebelum aku dapat menjalankan latihan seperti biasa.

Aku juga teringat selepas mendapatkan rawatan awal di SJMC, aku perlu kembali ke pejabat untuk menyerahkan laporan Doktor SJMC kepada Doktor di pejabat, dan menyerahkan surat MC kepada majikan aku. Setelah itu, dalam perjalanan pulang, aku singgah di kedai buku Popular untuk membeli sebuah novel cinta Islami yang bertajuk Ayat-Ayat Cinta karangan Habiburrahman El Syirazy. Aku fikir, memandangkan aku mendapat cuti sakit yang lama, ada baiknya aku luangkan masa membaca novel yang masa itu sering diiklankan di kaca tv.

Aku mengambil masa dua hari untuk menghabiskan novel itu.  Memang sebuah karya yang hebat dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam diri aku. Sampai sekarang, aku masih teringat-ingat perbualan fiksyen antara Maryam Alaihissalam dengan Maria gadis Koptik di hadapan pintu syurga, Babur Rahmah. Terlalu sayu. Kenapa? Bacalah sendiri. Ya. Kickboxer juga punya perasaan. Walaupun karya ini telah difilemkan, aku sarankan anda menghayati cerita ini melalui novel. Pada pendapat aku, ianya berjuta kali lebih baik daripada menonton filem. Sangat menyentuh jiwa.

Dipendekkan cerita, ambil tindakan cepat untuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes.  Sibuk dan tiada masa? Bulan ini dah tertulis, cuti setiap hari Jumaat.  Jadi, ada masa lebih untuk anda mengambil tindakan sewajarnya. Tiada Aedes, Tiada Denggi. Janganlah sampai dijangkiti Denggi kerana akibatnya, merana dan tidak dapat berlatih Kickboxing untuk tempoh masa yang lama. Tapi, sekiranya ditakdirkan anda dijangkiti juga, aku sarankan anda gunakan masa yang terluang untuk membaca novel karya Habiburrahman El Shirazy bertajuk Ayat-Ayat Cinta.  Sebuah karya hebat novel pembangun jiwa yang pasti meninggalkan kesan yang mendalam pada diri anda.  Sediakan sekotak tisu hampir dengan anda kerana air mata bakal berlinangan.

Semoga anda selamat sentiasa.


Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.
Reblog this post [with Zemanta]

Rabu, Disember 16, 2009

Permainan Online Muay Thai

Beberapa hari ini aku agak sibuk di tempat kerja. Kerja aku menganimasikan elemen grafik yang direka oleh pereka grafik berdasarkan papan cerita yang disediakan untuk menghasilkan montaj rancangan di stesen televisen tempatan.  Projek kali ini adalah sebuah rancangan sukan. Jadi, kelam kabut la sedikit hidup aku minggu ini kerana mengejar deadline yang begitu singkat kerana proses produksi kreatif yang barangkali tersangkut di peringkat mendapatkan kelulusan dari beberapa pihak seperti bahagian produksi dan bahagian penjenamaan, sebelum ianya sampai ke atas meja aku.

Jadi sepanjang hari di tempat kerja aku menumpukan perhatian penuh untuk menyiapkan tugasan aku.  Tetapi,  ketika proses Rendering, proses akhir menjanakan fail animasi untuk disiarkan, aku memang tidak dapat menggunakan mesin aku untuk projek atau tugasan lain. Jadi ada baiknya aku merehatkan minda dan melakukan proses detoksifikasi minda dengan bermain permainan online Muay Thai Kickboxing!




Permainan Muay Thai versi di atas, aku main di pejabat. Karakter permainan kelihatan seperti makhluk asing dan rasaksa.  Tetapi permainannya tetap layan!



Di rumah pula, aku cuba permainan Muay Thai versi yang kedua diatas.  Karakter lebih berupa manusia dan diselitkan juga irama Muay Thai sebagai muzik latar permainan. Aku rasa permainan versi baru ini kurang responsif pada kekunci yang aku tekan semasa dalam permainan. Mungkin aku patut cuba lagi di pejabat nanti. ;-)

Kekunci asas kedua-dua versi permainan ini agak mudah, Z untuk pertahanan, X untuk Tumbukan dan C untuk Tendangan. 

Satu hari nanti, sekiranya aku terpaksa membuat kerja lebih masa kerana mengejar deadline (minta dijauhkan), aku kini punya alternatif sementara untuk hari aku tidak dapat mengikuti latihan Kickboxing di studio, iaitu latihan Muay Thai jari-jemari dengan permainan online Muay Thai. Terima kasih kepada FreeOnlineGames.com.

Amaran! Tempoh sah penggunaan permainan online ini sebagai alternatif sementara latihan kickboxing ialah untuk satu malam sahaja. Jangan melebihi dos yang disarankan. Dikhuatiri mengakibatkan kemalasan berpanjangan.


Tunggu apa lagi? Cuba uji kemahiran anda dan sila kongsi pendapat dan mata markah yang anda berjaya perolehi melalui kotak komen dibawah.

Selamat Mencuba!


Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Khamis, Disember 10, 2009

Doa Buat Sang Peragut

Beware of snatch thief
Tengah hari semalam, ketika menikmati makan tengah hari, aku terbaca berita di surat khabar mengenai pasangan suami isteri yang menjadi mangsa jenayah ragut. Pasangan itu, yang baru pulang dari membeli sebuah anak patung untuk anak perempuan mereka yang berusia 15 bulan, telah diekori oleh sebuah motor yang dinaiki dua orang penjenayah ragut.

Dua peragut yang mengekori motorsikal pasangan itu kemudiannya merampas rantai leher si isteri sambil menendang motorsikal pasangan itu menyebabkan si suami hilang kawalan dan mengalami kemalangan. Si isteri yang  tecampak kedalam sebuah parit dan berada dalam keadaan separuh sedar telah melihat si suami dalam keadaan terbaring tidak bermaya di jalan raya, mengambil nafas yang terakhir dan akhirnya tidak bergerak lagi. Si suami terkoban di depan si isteri, dan si isteri, ketika dirawat di hospital melahirkan kekecewaan yang amat sangat kerana tidak dapat menghadiri pengebumian suaminya yang tercinta.

Sebelum aku terbaca berita itu, aku sedang seronok kerana dapat menikmati makanan tengah hari yang berharga RM1.50. Tetapi, ketika sedang membaca berita itu, keseronokan itu telah bertukar menjadi kesedihan dan kemarahan yang membuak-buak. Aku paksa juga diri aku untuk menghabiskan makanan tengah hari aku itu walaupun makanan itu sebenarnya tidak banyak mana.

Wahai Sang Peragut. Kau memang tidak berhati perut. Kau tidak puas dengan meragut seutas rantai, kau ragut juga nyawa seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang dari membeli hadiah buat anak yang dikasihinya. Kau ragut kasih seorang suami dari isterinya. Dan kau ragut nyawa seorang ayah, tempat bergantung harapan seorang anak kecil. Sememangnya hanya satu sahaja yang aku harap akan berlaku kepada kamu. Kecelakaan dan kematian yang paling menyeksakan untuk kau secepat mungkin.

Tapi, aku ubah fikiran. Aku tidak mahu mendoakan kematian kau yang paling menyeksakan walaupun kamu menemui ajal digilis keretapi yang paling panjang di dunia.

Aku doakan semoga kau dikurniakan umur yang panjang bersama  ibubapa, anak, cucu dan keluarga yang kau cintai. Tetapi aku doakan agar setiap malam, sepanjang hidup kau, kau akan terbangun dari mimpi ngeri yang kau mati dalam jenayah ragut, dan aku berdoa agar setiap satu daripada ahli keluarga yang kau sayangi mati terbunuh akibat jenayah ragut, di hadapan mata kau sendiri.

Inilah doa salah seorang daripada ramai rakyat Malaysia yang telah membaca berita yang menyayat hati ini. Buat keluarga mangsa, salam takziah aku ucapkan. Semoga roh yang pergi dicucuri rahmat dan tempatnya berada di samping orang-orang yang beriman.

Al Fatihah.


Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Ahad, Disember 06, 2009

Jenayah Belakang Studio Kickboxing

Beware of snatch thiefImage by asmythie via Flickr
Aku teringat sekitar November 2007, aku telah menjadi mangsa jenayah. Tetapi jenayah apa, aku pun tak pasti nak kategorikan sebagai jenayah apa, samada kecurian biasa ataupun jenayah ragut. Aku tidak melaporkan jenayah ini ke pihak berkuasa.

Hari itu aku rasa ada kena mengena dengan cuti Deepavali. Barangkali esoknya adalah hari perayaan festival cahaya itu. Yang aku ingat, malam itu, aku perlu pergi menyiapkan sedikit kerja promo berkaitan rancangan yang bakal ditayangkan di stesen siaran bersama seorang Akak produser di pejabat.  Haihh.. memang aku tak gemar kerja lebih masa kerana ia mengganggu jadual latihan kickboxing aku. Masa itu, aku memang mengalami kemaruk kickboxing. Kerja lebih masa hanya akan membuatkan aku mengalami risiko kemurungan. Aku beritahu pada Akak produser yang aku akan kembali ke pejabat pada tengah malam. Dia pun, pada hari itu bekerja pada syif malam.

Jadi, malam itu, aku berlatih seperti biasa. Seronok dan lega kerana dapat berlatih Kickboxing seperti biasa. Ketagihan aku terhadap Kickboxing dapat dipuaskan malam itu. Setelah habis latihan, aku berjalan ke kereta aku yang aku letak di lorong belakang studio bersama seorang rakan Kickboxing bernama Mal untuk menumpangkan dia untuk ke keretanya sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

Apabila aku masuk kedalam kereta, dan menghidupkan enjin, aku terasa bagaikan sesuatu sedang berlaku dibelakang aku. Aku toleh kebelakang dan melihat pintu belakang kereta aku dibuka. Seorang lelaki bertopi keledar telah membukanya lalu mencapai beg peralatan Kickboxing aku. Aku masih tidak pasti apa yang sedang berlaku. Aku mengambil masa 2 saat untuk otak aku memproses kejadian itu dan setelah itu, baru aku sedar, beg aku sedang dicuri dihadapan mata aku.

Lelaki itu pun terus bergegas ke motor yang sedang menunggu. Beliau yang membonceng telah melompat ke atas motor itu dan penunggang yang membawa motor itu terus memulas pemegang minyak untuk beredar dari situ.  Aku yang hanya mahukan beg aku kembali sempat menjerit "HOI! HOI!" dan berjaya mengejar dan menggenggam sambil cuba menarik beg aku. Tetapi aku tidak berjaya untuk melepaskan beg aku daripada genggaman penjenayah itu. Dalam keadaan motor itu sedang bergerak dan barangkali penjenayah itu sekadar melepaskan atau merendahkan beg aku sedikit, aku mendapati diri aku ketika itu telahpun berada di atas jalan raya dan sedang diseret sepanjang beberapa puluh meter. 

Sepanjang aku diseret, aku dapat melihat rakan aku itu masih di dalam kereta dan sekadar melihat kejadian yang menimpa aku dari situ. Bila aku toleh kehadapan pula, aku lihat sebuah lori sedang begerak menuju aku. Oleh kerana aku tidak ingin berada dibawah tayar lori yang sudah pasti sangat menyakitkan dan kemungkinan menghantar aku ke alam lain, aku pun melepaskan genggaman aku pada beg aku itu. Aku bangun, berdiri dan melihat motor dan penjenayah-penjenayah itu pergi dari situ. Aku dapat melihat pembonceng itu menoleh ke belakang dan matanya kelihatan terkejut. Barangkali kerana rambutku yang terlalu panjang ketika itu, dia mengagak mangsanya malam itu adalah seorang Akak dan kerjanya malam itu sepatutnya selesai dalam beberapa detik masa tanpa banyak masalah.

Ketika aku bangun dari jatuh, aku bangun dengan tenang, barangkali sedikit tersenyum mengenangkan yang penjenayah itu bernasib baik kerana berjaya melepaskan diri. Sekiranya tidak, tidak dapat aku bayangkan apa yang bakal berlaku pada salah seorang, atau kedua-dua mereka.  Aku dapat rasakan yang aku berada dalam keadaan tidak panik, tidak marah dan jantung aku berada dalam keadaan yang sangat normal. Aku pasti ini adalah hasil latihan intensif kickboxing yang aku telah lalui selama 6 bulan ketika itu.

Aku juga bersyukur kerana aku tidak cedera teruk, setakat luka dan calar di permukaan kulit, seluar yang koyak di bahagian lutut dan kocek, dan alat kawalan jauh kereta aku yang telah musnah dengan isinya yang telah hilang buat selama-lamanya.  Yang hilang juga hanyalah beg latihan aku yang berisi baju busuk yang lencun dengan peluh aku yang berbau masam, dan peralatan lain seperti pelindung kemaluan aku yang paling harum dalam dunia. Simpati aku kepada mereka kerana kerja mereka yang sia-sia. Mencuri itu kerja sia-sia, tetapi mencuri baju busuk dan pelindung kemaluan aku yang lembap dengan peluh dan penuh hormon feromon itu lagi lah sia-sia.  Aku berharap, akibat kecewaan dan malu digelakkan rakan-rakan pencuri mereka, mereka terus tunduk dan sujud bertaubat ke hadrat Ilahi dan bersumpah laknat tidak akan melakukan kerja terkutuk itu lagi.

Aku juga bersyukur kerana aku tewas pada ujian pertama aku. Sekiranya aku berjaya, aku mungkin berasa angkuh dan hebat kerana kejayaan aku menumpaskan penjenayah tersebut. Sekiranya aku berjaya, aku mungkin mengambil tindakan melampaui batas yang tidak sepadan dengan jenayah kecil mereka. Dan disebaliknya, apa yang perlu penjenayah itu lakukan untuk melepaskan genggaman aku daripada beg aku hanyalah menikam leher aku yang berada hampir padanya dengan senjata tajam. Sekiranya dia bersenjata berakhirlah riwayat aku di lorong gelap belakang studio Kickboxing pada malam itu. Aku bersyukur.

Dalam analisis ringkas aku tentang kejadian tersebut, sekiranya ia berulang lagi, aku perlulah mengambil tubuh penjenayah itu, seperti tengkuknya, sebagai sasaran dan cuba menjatuhkan dia, bukan sekadar cuba mendapatkan beg aku kembali. Aku jatuh kerana aku hanya mahukan beg aku kembali. Selain itu, aku perlu sensitif terhadap persekitaran aku, tidak leka, dan setelah masuk kedalam kereta, aku mesti terus mengunci pintu kereta aku.  Inilah langkah yang aku ambil sekarang setiap kali memasuki kenderaan kerana aku tidak ingin pisang berbuah dua kali.

Mal yang hanya melihat aku diseret dari dalam kenderaan aku, sekurang-kurangnya melaksanakan tugas seorang rakan dengan menyapu iodin yang sentiasa tersimpan didalam keretanya. Terima kasih aku ucapkan kepadanya sebelum kami mengambil haluan masing-masing. Aku pun bergerak menuju ke pejabat untuk menyambung kerja.

Akak produser yang menunggu aku berasa lega kerana aku datang juga dalam keadaan itu untuk menyiapkan kerja. Aku barangkali menyiapkan kerja aku dalam tempoh satu jam dan pulang sekitar jam 1 pagi.

Aku hanya mendapat rawatan doktor beberapa hari setelah kejadian kerana aku lebih selesa untuk ke klinik di pejabat, yang buka pada hari bekerja. Sementara menunggu hari kerja, aku hanya duduk dirumah mencuci luka, menyapu iodin dan berehat menonton TV.  Apabila aku berjumpa doktor pada hari kerja berikutnya, doktor mencuci luka aku lagi sambil meleteri aku kerana mengambil tindakan yang membahayakan diri.

"Tapi Doktor, aku cuma mahukan beg aku kembali. Itu saja." Aku menerangkan pada beliau.

Doktor Rohaya hanya mampu mengeluh sambil memasangkan balutan pada luka-luka aku.

Kisah ini pula menjadi bahan lawak pada rakan Kickboxing yang lain untuk beberapa ketika kerana mereka sangat pasti penjenayah itu tersilap sasaran dan menyangka aku seorang Akak kerana rambut aku yang panjang.

Tidak mengapalah. Biar kejadian itu menjadi iktibar bagi mereka. Malam itu, aku cuma mahukan beg aku kembali. Itu sahaja.



Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.
Reblog this post [with Zemanta]

Rabu, Disember 02, 2009

Tendangan Croco

Lethwei-Hight-kick.Image via Wikipedia

Sepak Layang kata orang Melayu, Roundhouse Kick kata orang Putih, Te kata orang Siam. Untuk tujuan entri ini, aku himpun ketiga-tiga ini menjadi satu jenis tendangan yang sama. Di studio Kickboxing tempat aku berlatih, tendangan ini dipanggil Croco, singkatan daripada Crocodile's Whip atau Libasan Ekor Buaya.

Tendangan ini mempunyai 3 sasaran secara amnya, tinggi, iaitu sasaran di bahagian kepala, tengah, iaitu sasaran di bahagian rusuk, dan rendah, iaitu sasaran di bahagian paha, atas sikit daripada paras lutut.

Untuk menggunakan tendangan Croco, secara asasnya, mulakan dengan mengambil posisi Fighting Stance. Sekiranya pelatih menggunakan posisi Fighting Stance yang ortodoks, tendangan Croco menggunakan kaki kiri akan dipanggil Lead Croco kerana kedudukannya yang dihadapan, dan sebaliknya tendangan Croco menggunakan kaki kanan akan dipanggil Rear Croco kerana kedudukan tangan yang berada di belakang.

Melancarkan Lead Croco


Dari posisi Fighting Stance, mulakan pergerakan dengan mengambil satu langkah kehadapan dengan kaki kanan dengan mengarahkan tapak kaki kanan anda hampir 90 darjah melintang ke luar. Pindahkan berat anda 45 darjah ke kanan iaitu arah libasan tendangan anda.

Secara asasnya, lancarkan serangan dengan mengangkat lutut kiri  ke atas, lancarkan tendangan secara mendatar (seperti menghayun kayu besbol) ke arah sasaran, apabila mengenai sasaran, arahkan tendangan anda melintang kebawah bagaikan memotong sasaran anda dengan memusingkan pinggul dan badan anda untuk daya impak yang maksima. Pastikan anda mengambil langkah keselamatan dengan membawa bahagian atas badan anda kebelakang dan tangan kanan anda melindungi pipi kiri anda agar serangan balas lawan tidak mengenai sasaran.  Setelah itu, kembali ke posisi Fighting Stance dan bersedia untuk melancarkan serangan yang sama, yang lain ataupun mengambil langkah bertahan.

Melancarkan Rear Croco

Dari posisi Fighting Stance, mulakan pergerakan dengan  mengarahkan tapak kaki kiri anda hampir 90 darjah melintang ke luar. Pindahkan berat anda 45 darjah ke kiri iaitu arah libasan tendangan anda.

Seperti Lead Croco, Lancarkan serangan Rear Croco dengan mengangkat lutut kanan anda ke atas, lancarkan tendangan secara mendatar (seperti menghayun kayu besbol) ke arah sasaran, apabila mengenai sasaran, arahkan tendangan anda melintang kebawah bagaikan memotong sasaran anda dengan memusingkan pinggul dan badan anda untuk daya impak yang maksima. Pastikan anda mengambil langkah keselamatan dengan membawa bahagian atas badan anda kebelakang dan tangan kiri anda melindungi pipi kanan anda agar serangan balas lawan tidak mengenai sasaran.  Setelah itu, kembali ke posisi Fighting Stance dan bersedia untuk melancarkan serangan yang sama, yang lain ataupun mengambil langkah bertahan.

Berlatihlah menggunakan Lead Croco dahulu, dan Rear Croco anda kemudian. Latihlah bersungguh-sungguh sehingga anda dapat merasakan betapa berkesannya tendangan ini keatas lawan atau musuh apabila teknik yang betul dapat diaplikasikan. Anda boleh berlatih bersendirian dengan menendang beg berat atau membuat tendangan bayang dihadapan cermin. Anda juga boleh berlatih bersama rakan pelatih dengan salah seorang memegang Shield sementara seorang lagi melakukan tendangan tubi. Lakukan secara bergilir-gilir.

Berlatihlah dengan gigih. Selamat mencuba!

Salam Hormat.


Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.
Reblog this post [with Zemanta]