Ahad, Disember 06, 2009

Jenayah Belakang Studio Kickboxing

Beware of snatch thiefImage by asmythie via Flickr
Aku teringat sekitar November 2007, aku telah menjadi mangsa jenayah. Tetapi jenayah apa, aku pun tak pasti nak kategorikan sebagai jenayah apa, samada kecurian biasa ataupun jenayah ragut. Aku tidak melaporkan jenayah ini ke pihak berkuasa.

Hari itu aku rasa ada kena mengena dengan cuti Deepavali. Barangkali esoknya adalah hari perayaan festival cahaya itu. Yang aku ingat, malam itu, aku perlu pergi menyiapkan sedikit kerja promo berkaitan rancangan yang bakal ditayangkan di stesen siaran bersama seorang Akak produser di pejabat.  Haihh.. memang aku tak gemar kerja lebih masa kerana ia mengganggu jadual latihan kickboxing aku. Masa itu, aku memang mengalami kemaruk kickboxing. Kerja lebih masa hanya akan membuatkan aku mengalami risiko kemurungan. Aku beritahu pada Akak produser yang aku akan kembali ke pejabat pada tengah malam. Dia pun, pada hari itu bekerja pada syif malam.

Jadi, malam itu, aku berlatih seperti biasa. Seronok dan lega kerana dapat berlatih Kickboxing seperti biasa. Ketagihan aku terhadap Kickboxing dapat dipuaskan malam itu. Setelah habis latihan, aku berjalan ke kereta aku yang aku letak di lorong belakang studio bersama seorang rakan Kickboxing bernama Mal untuk menumpangkan dia untuk ke keretanya sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

Apabila aku masuk kedalam kereta, dan menghidupkan enjin, aku terasa bagaikan sesuatu sedang berlaku dibelakang aku. Aku toleh kebelakang dan melihat pintu belakang kereta aku dibuka. Seorang lelaki bertopi keledar telah membukanya lalu mencapai beg peralatan Kickboxing aku. Aku masih tidak pasti apa yang sedang berlaku. Aku mengambil masa 2 saat untuk otak aku memproses kejadian itu dan setelah itu, baru aku sedar, beg aku sedang dicuri dihadapan mata aku.

Lelaki itu pun terus bergegas ke motor yang sedang menunggu. Beliau yang membonceng telah melompat ke atas motor itu dan penunggang yang membawa motor itu terus memulas pemegang minyak untuk beredar dari situ.  Aku yang hanya mahukan beg aku kembali sempat menjerit "HOI! HOI!" dan berjaya mengejar dan menggenggam sambil cuba menarik beg aku. Tetapi aku tidak berjaya untuk melepaskan beg aku daripada genggaman penjenayah itu. Dalam keadaan motor itu sedang bergerak dan barangkali penjenayah itu sekadar melepaskan atau merendahkan beg aku sedikit, aku mendapati diri aku ketika itu telahpun berada di atas jalan raya dan sedang diseret sepanjang beberapa puluh meter. 

Sepanjang aku diseret, aku dapat melihat rakan aku itu masih di dalam kereta dan sekadar melihat kejadian yang menimpa aku dari situ. Bila aku toleh kehadapan pula, aku lihat sebuah lori sedang begerak menuju aku. Oleh kerana aku tidak ingin berada dibawah tayar lori yang sudah pasti sangat menyakitkan dan kemungkinan menghantar aku ke alam lain, aku pun melepaskan genggaman aku pada beg aku itu. Aku bangun, berdiri dan melihat motor dan penjenayah-penjenayah itu pergi dari situ. Aku dapat melihat pembonceng itu menoleh ke belakang dan matanya kelihatan terkejut. Barangkali kerana rambutku yang terlalu panjang ketika itu, dia mengagak mangsanya malam itu adalah seorang Akak dan kerjanya malam itu sepatutnya selesai dalam beberapa detik masa tanpa banyak masalah.

Ketika aku bangun dari jatuh, aku bangun dengan tenang, barangkali sedikit tersenyum mengenangkan yang penjenayah itu bernasib baik kerana berjaya melepaskan diri. Sekiranya tidak, tidak dapat aku bayangkan apa yang bakal berlaku pada salah seorang, atau kedua-dua mereka.  Aku dapat rasakan yang aku berada dalam keadaan tidak panik, tidak marah dan jantung aku berada dalam keadaan yang sangat normal. Aku pasti ini adalah hasil latihan intensif kickboxing yang aku telah lalui selama 6 bulan ketika itu.

Aku juga bersyukur kerana aku tidak cedera teruk, setakat luka dan calar di permukaan kulit, seluar yang koyak di bahagian lutut dan kocek, dan alat kawalan jauh kereta aku yang telah musnah dengan isinya yang telah hilang buat selama-lamanya.  Yang hilang juga hanyalah beg latihan aku yang berisi baju busuk yang lencun dengan peluh aku yang berbau masam, dan peralatan lain seperti pelindung kemaluan aku yang paling harum dalam dunia. Simpati aku kepada mereka kerana kerja mereka yang sia-sia. Mencuri itu kerja sia-sia, tetapi mencuri baju busuk dan pelindung kemaluan aku yang lembap dengan peluh dan penuh hormon feromon itu lagi lah sia-sia.  Aku berharap, akibat kecewaan dan malu digelakkan rakan-rakan pencuri mereka, mereka terus tunduk dan sujud bertaubat ke hadrat Ilahi dan bersumpah laknat tidak akan melakukan kerja terkutuk itu lagi.

Aku juga bersyukur kerana aku tewas pada ujian pertama aku. Sekiranya aku berjaya, aku mungkin berasa angkuh dan hebat kerana kejayaan aku menumpaskan penjenayah tersebut. Sekiranya aku berjaya, aku mungkin mengambil tindakan melampaui batas yang tidak sepadan dengan jenayah kecil mereka. Dan disebaliknya, apa yang perlu penjenayah itu lakukan untuk melepaskan genggaman aku daripada beg aku hanyalah menikam leher aku yang berada hampir padanya dengan senjata tajam. Sekiranya dia bersenjata berakhirlah riwayat aku di lorong gelap belakang studio Kickboxing pada malam itu. Aku bersyukur.

Dalam analisis ringkas aku tentang kejadian tersebut, sekiranya ia berulang lagi, aku perlulah mengambil tubuh penjenayah itu, seperti tengkuknya, sebagai sasaran dan cuba menjatuhkan dia, bukan sekadar cuba mendapatkan beg aku kembali. Aku jatuh kerana aku hanya mahukan beg aku kembali. Selain itu, aku perlu sensitif terhadap persekitaran aku, tidak leka, dan setelah masuk kedalam kereta, aku mesti terus mengunci pintu kereta aku.  Inilah langkah yang aku ambil sekarang setiap kali memasuki kenderaan kerana aku tidak ingin pisang berbuah dua kali.

Mal yang hanya melihat aku diseret dari dalam kenderaan aku, sekurang-kurangnya melaksanakan tugas seorang rakan dengan menyapu iodin yang sentiasa tersimpan didalam keretanya. Terima kasih aku ucapkan kepadanya sebelum kami mengambil haluan masing-masing. Aku pun bergerak menuju ke pejabat untuk menyambung kerja.

Akak produser yang menunggu aku berasa lega kerana aku datang juga dalam keadaan itu untuk menyiapkan kerja. Aku barangkali menyiapkan kerja aku dalam tempoh satu jam dan pulang sekitar jam 1 pagi.

Aku hanya mendapat rawatan doktor beberapa hari setelah kejadian kerana aku lebih selesa untuk ke klinik di pejabat, yang buka pada hari bekerja. Sementara menunggu hari kerja, aku hanya duduk dirumah mencuci luka, menyapu iodin dan berehat menonton TV.  Apabila aku berjumpa doktor pada hari kerja berikutnya, doktor mencuci luka aku lagi sambil meleteri aku kerana mengambil tindakan yang membahayakan diri.

"Tapi Doktor, aku cuma mahukan beg aku kembali. Itu saja." Aku menerangkan pada beliau.

Doktor Rohaya hanya mampu mengeluh sambil memasangkan balutan pada luka-luka aku.

Kisah ini pula menjadi bahan lawak pada rakan Kickboxing yang lain untuk beberapa ketika kerana mereka sangat pasti penjenayah itu tersilap sasaran dan menyangka aku seorang Akak kerana rambut aku yang panjang.

Tidak mengapalah. Biar kejadian itu menjadi iktibar bagi mereka. Malam itu, aku cuma mahukan beg aku kembali. Itu sahaja.



Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.
Reblog this post [with Zemanta]

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aduhai...sygnya kat "baju busuk yang lencun dengan peluh aku yang berbau masam, dan peralatan lain seperti pelindung kemaluan aku yang paling harum dalam dunia"..sanggup hurt yourself to save those things or are there other stuff in there yang u syg ni sebenarnya...;)

Ilm berkata...

hehe.. i just want my bag back babe.. ;-)