Ahad, Disember 20, 2009

Denggi, Kickboxing dan Maria Gadis Koptik


Jualan Akhir Tahun! Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang!

Kebelakangan ini, aku lihat, siaran televisyen sering menyiarkan pesanan khidmat masyarakat tentang ancaman Denggi. Jadi, apabila amaran telah dikeluarkan, kita hendaklah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menghapuskan ancaman ini sebelum terlambat.  Tempat-tempat yang mungkin menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes hendaklah dibersihkan sebelum ianya menjadi ancaman terhadap kesihatan. 

Aedes aegypti
Image via Wikipedia
Baru-baru ini ada juga seorang kawan bertanya tentang tanda-tanda denggi, kerana dia mengesyaki yang dirinya telah dijangkiti.  Nasib baik dia hanya kena demam biasa sahaja. Aku sebenarnya panik juga apabila kawan aku suspek dirinya dijangkiti kerana aku tahu bagaimana rasanya menghidap demam Denggi. Sengsara.

Kejadian itu berlaku antara bulan Mei dan Jun 2008, tidak silap aku. Aku tidak berapa ingat bagaimana ianya berlaku. Pada satu malam, aku badan aku rasa menggigil dengan teruk. Demam panas, sakit otot dan sendi, cirit birit, muntah-muntah dan menggigil teruk. Memang malam itu, terlintas di fikiran yang ajal bakal menjemput. Begitulah rasanya. Sehinggakan, tiba-tiba, antara sedar dengan tidak, nyata dan mimpi, aku bagaikan terdengar suara memberitahu aku yang aku diberi satu lagi peluang. Jangan sia-siakan.

Alhamdulillah, pagi itu aku sedar dari tidur. Kepala aku terasa sakit yang amat sangat. Aku paksa diri aku untuk bangun untuk mendapatkan rawatan di klinik di bangunan pejabat tempat aku bekerja.  Ketika mendapat rawatan, Doktor mengatakan suhu badan aku sangat tinggi. Kesakitan kepala melampau yang aku alami membuatkan aku tidak sedar yang suhu badan aku sudah sangat tinggi. Doktor juga memberitahu aku tentang bintik-bintik merah yang kelihatan di  badan aku.  Doktor mengesyaki aku menghidap penyakit denggi dan mengarahkan aku untuk segera membuat ujian darah di SJMC.

Aku membuat ujian darah di SJMC dan hanya disahkan menghidap Denggi beberapa minggu setelah berulangkali membuat ujian darah di sana. Ada baiknya juga kerana, aku tidak perlu dimasukkan ke wad. Nasib baik juga bil perubatan aku dibiayai sepenuhnya oleh syarikat. Kalau tidak, memang aku tidak mampu membiayai kos rawatan aku sendiri. Aku bersyukur.

Semasa aku dijangkiti, aku dinasihatkan oleh Doktor di SJMC untuk berehat dan tidak melakukan apa-apa aktiviti yang berat dan intensif.  Ketika itu, aku sudah setahun menjalani latihan kickboxing dan aku dah masuk fasa kemaruk kickboxing.  Tapi apa kan daya. Aku memang tidak berdaya. Tiada kudrat dan kekuatan langsung walaupun untuk berjalan keluar untuk makan. Aku rasa, aku ambil masa lebih daripada sebulan sebelum aku dapat menjalankan latihan seperti biasa.

Aku juga teringat selepas mendapatkan rawatan awal di SJMC, aku perlu kembali ke pejabat untuk menyerahkan laporan Doktor SJMC kepada Doktor di pejabat, dan menyerahkan surat MC kepada majikan aku. Setelah itu, dalam perjalanan pulang, aku singgah di kedai buku Popular untuk membeli sebuah novel cinta Islami yang bertajuk Ayat-Ayat Cinta karangan Habiburrahman El Syirazy. Aku fikir, memandangkan aku mendapat cuti sakit yang lama, ada baiknya aku luangkan masa membaca novel yang masa itu sering diiklankan di kaca tv.

Aku mengambil masa dua hari untuk menghabiskan novel itu.  Memang sebuah karya yang hebat dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam dalam diri aku. Sampai sekarang, aku masih teringat-ingat perbualan fiksyen antara Maryam Alaihissalam dengan Maria gadis Koptik di hadapan pintu syurga, Babur Rahmah. Terlalu sayu. Kenapa? Bacalah sendiri. Ya. Kickboxer juga punya perasaan. Walaupun karya ini telah difilemkan, aku sarankan anda menghayati cerita ini melalui novel. Pada pendapat aku, ianya berjuta kali lebih baik daripada menonton filem. Sangat menyentuh jiwa.

Dipendekkan cerita, ambil tindakan cepat untuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes.  Sibuk dan tiada masa? Bulan ini dah tertulis, cuti setiap hari Jumaat.  Jadi, ada masa lebih untuk anda mengambil tindakan sewajarnya. Tiada Aedes, Tiada Denggi. Janganlah sampai dijangkiti Denggi kerana akibatnya, merana dan tidak dapat berlatih Kickboxing untuk tempoh masa yang lama. Tapi, sekiranya ditakdirkan anda dijangkiti juga, aku sarankan anda gunakan masa yang terluang untuk membaca novel karya Habiburrahman El Shirazy bertajuk Ayat-Ayat Cinta.  Sebuah karya hebat novel pembangun jiwa yang pasti meninggalkan kesan yang mendalam pada diri anda.  Sediakan sekotak tisu hampir dengan anda kerana air mata bakal berlinangan.

Semoga anda selamat sentiasa.


Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.
Reblog this post [with Zemanta]

Tiada ulasan: