Jumaat, Oktober 16, 2009

Muzik dan Kickboxing

Kickboxing adalah latihan kecergasan yang sangat intensif dan menguji kekentalan semangat juang seseorang pelatih. Jadi, anda perlukan sesuatu yang dapat memberi anda motivasi untuk berjuang meneruskan latihan menendang dan menumbuk secara bertubi-tubi sehingga habis sesi latihan, walaupun merasa keletihan yang amat sangat.

Muzik adalah satu cara yang dapat membantu memberi anda motivasi yang diperlukan. Menurut kajian dari Brunel University, muzik dapat mengurangkan persepsi daya usaha sebanyak 10%. Ini bererti, seorang pelatih Kickboxing akan merasakan yang mereka perlu tambahan usaha sebanyak 10% sekiranya berlatih tanpa muzik. Pakar psikologi Dr Costas Karageorghis juga menyatakan bahawa muzik dapat membina set minda sukan yang mampu menghalang isyarat penat daripada sampai ke otak, meningkatkan mood yang bersifat positif seperti rasa bertenaga dan teruja, dan menghalang mood yang bersifat negatif seperti depresi.

Untuk latihan Kickboxing, muzik yang rancak dan mempunyai tempo berukuran dalam antara 120-140bpm (beats per minute) disarankan oleh buku karangan Cheryl L. Hyde, bertajuk Fitness Instructor Training Guide.

Semasa membuat carian Google tentang topik ini, aku dibawa ke artikel Kick-Butt Kickboxing Workout Playlist oleh Marianne Magno keluaran fitnessmagazine.com bulan Julai 2009. Artikel itu mencadangkan beberapa contoh lagu yang sesuai untuk sesi latihan kickboxing seperti yang disenaraikan di bawah;

  • "Knock You Down" - Keri Hilson, Kanye West, and Ne-Yo
  • "Paper Planes" - M.I.A.
  • "Circus" - Britney Spears
  • "Boom Boom Pow" - Black Eyed Peas
  • "That's Not My Name" - The Ting Tings
  • "Ring the Alarm" - Beyonce
  • "When I Grow Up" - The Pussycat Dolls
  • "So What" - Pink
  • "Beat It" - Michael Jackson
  • "LoveGame" - Lady Gaga
Lagu-lagu yang dicadangkan diatas, pada aku, memanglah bagus, cuma masalahnya, baru lagu pertama dipasangkan, aku dah teringat pada seseorang. Kantoi.

Aku rasa, aku lebih sesuai dengan muzik yang berentak berat. Dulu masa aku sering berlatih sendiri dengan beg berat dalam studio, aku selalu pasang album The Great Southern Trendkill oleh kumpulan Pantera. Memang aku lanyak semua beg berat tu cukup-cukup dengan tumbukan dan tendangan yang bertubi-tubi, dengan kaset tu sekali aku lanyak sampai putus. Jadi, sekarang, aku dah tak ada workout playlist atau muzik peniup semangat untuk dipasang semasa latihan kickboxing aku lagi.



Ya, aku pasang kaset. Orang lama, teknologi lama. Kantoi lagi.

Muzik memang memberi kesan yang positif dalam latihan Kickboxing aku. Mungkin kerana bila aku pasang kaset Pantera dulu, semangat aku ditiup oleh penyampaian emosi yang disampaikan melalui vokal Phil Anselmo yang ganas, riffing gitar Dimebag Darrel yang mengasyikkan dan hentakan dram Vinnie Paul? Tak semestinya. Kesan yang hampir sama boleh aku rasakan kalau aku pasang lagu Destiny's Child. Oops! Kantoi lagi. Jadi, mungkin juga kerana aku akan berlatih mengikut rentak yang teratur, mengikut tempo sesuatu lagu yang dipasang, menjadikan nafas aku lebih terkawal? Mungkin, kedua-dua faktor iaitu motivasi dan tempo memainkan peranan.

Tapi kesimpulannya, memang aku dapat rasakan, bila aku ada Workout Playlist atau senarai muzik yang sesuai, semangat aku naik dan aku tak rasa penat sangat semasa berlatih.

Kalau anda ada cadangan untuk lagu-lagu yang sesuai dipasang semasa latihan Kickboxing, sila cadangkan dan kongsi bersama di kotak komen ya.

Selamat Berjuang!

Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Tiada ulasan: