Jumaat, November 06, 2009

Kickboxing untuk Pertempuran

Hari ini awal pagi lagi aku sudah keluar pergi Kuala Lumpur. Setelah bersarapan dengan seorang teman, aku melangkah ke Kinokuniya KLCC untuk meluangkan masa sementara menunggu masuknya waktu solat Jumaat.

Rambang juga mata kerana aku ada lebih dua jam setengah untuk melihat dan membelek buku-buku yang pelbagai jenis di situ. Salah satu buku yang aku terjumpa disitu adalah buku Combat Kickboxing : Realistic Self Defense oleh Pat O'Keefe.




Seingat aku, rasanya aku pernah ternampak buku ini dahulu, juga di Kinokuniya KLCC, tetapi, dalam keadaan berbalut, aku tak rasa teringin hendak meminta izin untuk membuka balutan buku dan melihat isi kandungannya. Mungkin, berpunca daripada persepsi aku melihat kulit buku ini dengan seorang yang berada di pertengahan umur, berkepala botak tengah, dengan belakang badan yang berbulu dan sedikit berlemak memakai seluar panjang dan pad di kaki melakukan aksi tendangan terbang, tidak membuat aku rasa teruja untuk melihat isi kandungan buku tersebut pada masa itu. Maafkan aku kerana mempunyai persepsi seperti majoriti konsumer di dunia ini.

Tetapi kali ini, aku lihat ia tidak berbalut. Jadi, aku fikir, alang-alang, mengapa tidak? Tak rugi pun.

Memang betul kata orang, Don't judge a book by its cover. Aku tidak sepatutnya membuat andaian yang buku itu tidak menarik, berdasarkan gambar di kulit buku itu. Aku rasa, penulis ini telah mempersembahkan sebuah buku yang mengaplikasikan latihan Kickboxing untuk senario pertempuran luar gelanggang yang realistik. Antara latihan yang digambarkan ialah seperti mematahkan serangan lawan apabila pelatih telah jatuh terbaring, senario satu lawan ramai, senario pertempuran di tangga, serangan awal untuk mematahkan serangan lawan yang bakal berlaku dan banyak lagi menggunakan teknik-teknik yang tidak dibenarkan didalam gelanggang.

Buku ini juga memuatkan latihan untuk mematahkan serangan bersenjatakan pisau. Tapi aku tidak berapa berkenan dengan cara yang ditunjukkan. Ia kelihatan sangat berbahaya lebih-lebih lagi sekiranya penyerang adalah seorang yang terlatih dalam seni permainan pisau. Tetapi, nasihat yang diberikan tentang bahaya serangan pisau adalah berasas. Di dalam topik itu, dilampirkan jadual kematian serangan pisau yang dibina oleh W.E Fairbairn, seorang tentera British yang telah mengasaskan sistem pertempuran Defendu. Sangat mengerikan, dan aku tersedar tangan aku seakan cuba melindungi leher aku, sewaktu melihat jadual itu yang memberitahu berapa saat masa diambil untuk seorang mangsa menemui ajal apabila urat di leher terputus akibat serangan pisau.

Banyak teknik-teknik didalam buku ini tidak boleh sama sekali digunakan di dalam gelanggang sukan Kickboxing. Tetapi, ilmu yang terdapat dalam buku ini adalah sangat berharga dan berguna apabila lebih-lebih keselamatan diri dan nyawa dalam keadaan terancam. Aku rasa buku ini sangat menarik terutama sekali apabila teringat semasa aku hendak mengikuti kelas Silat Harimau Berantai dulu, syarat yang dikenakan oleh guru aku ialah untuk mengikuti latihan Kickboxing sebagai asas.

Sememangnya, Kickboxing adalah sejenis aktiviti sukan yang mengajar kita asas yang baik untuk mempelajari seni bela diri yang lain.

Setelah aku menutup buku ini untuk meletaknya kembali ke rak jualan, aku melihat kulit belakang buku ini. Harga jualan yang dicatatkan adalah sebanyak RM77.++. Memang mahal buku ini, tetapi, jika berminat, anda boleh mendapatkannya juga secara online di Amazon.com. Lihat saja harga dibawah. ;-)

Selamat membaca!



Blog ini ditaja oleh

Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Gum Shield.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.

Tiada ulasan: