Jualan besar-besaran antara 50% sehingga 70%! Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda sekarang! Antara 1 sehingga 30 November. Jangan tunggu lagi!
Antonio Graceffo, Sami dari Brooklyn
Pada 31 Julai lalu, studio latihan tempat aku berlatih telah didatangi oleh seorang pengembara senibela diri bernama Antonio Graceffo atau lebih dikenali di alam maya sebagai the Brooklynmonk. Tujuan kehadiran beliau ke Malaysia adalah untuk mempelajari sedikit sebanyak tentang seni beladiri yang terdapat di negara ini dan merakamkan pengetahuan beliau untuk disebarkan melalui penulisan artikel majalah, buku, laman sesawang mahupun media sosial seperti Youtube dan Facebook. Beliau dikenali ramai melalui dokumentari seni beladiri di Youtube.com yang dipanggil Martial Arts Odyssey dan buku-buku mengenai seni beladiri Asia karangan beliau juga boleh didapati di laman Amazon.com
Aku sebagai jurulatih malam itu menerima kehadiran beliau dengan penuh rendah diri dan setelah diberitahu tujuan kehadiran beliau ke studio kami, untuk melihat cara latihan kami sebelum menemui Kru Jak untuk sesi temubual pada hari latihan yang berikutnya. Latihan dijalankan seperti biasa dengan latihan tubi tumbukan, tendangan dan latihan kombinasi. Waktu berehat antara sesi latihan digunakan oleh Antonio dan seorang rakannya untuk membuat sedikit rakaman sesi temuramah dengan peserta latihan dan memberi komen tentang latihan yang beliau lalui.
Selepas sesi latihan, beliau mengajak aku untuk satu sesi sparring. Aku sebagai hos yang ingin memberi layanan terbaik pada tetamu, tapi aku juga hendak memastikan diri aku tercedera sparring dengan seorang yang aku tak biasa ber'sparring' kerana pagi esoknya, aku ada trip bersama rakan-rakan kickboxing untuk ke Bukit Fraser. Jadi aku pesan pada dia 'Sabai-sabai, Go slow' agar kekuatan serangan dapat dikurangkan sebanyak boleh. Antonio memberi isyarat kepada rakannya untuk memulakan serangan. Aku dalam hati, hanya mampu berkata "Alamak".
Rakaman kamera video biasanya membuatkan aku berusaha sehabis baik, tapi aku mesti cari jalan tengah kerana tujuan sparring dalam kickboxing bukan untuk menang, tetapi sebenarnya untuk memberi peluang kepada kedua peserta sesi Sparring untuk belajar menggunakan teknik, taktik, mencari kelemahan sendiri dan sebagainya. Aku tidak perlu menang atau tunjuk hebat, tetapi aku perlu melakukan sebaik mungkin kerana aku berandaian bahawa rakaman kamera akan memberikan persepsi kepada penonton tentang studio latihan aku, dan Kru aku.
Sparring pun bermula. Mula-mula sesi sparring agak ringan. Tetapi bila perlanggaran mula berlaku, aku rasakan tumbukan yang diberi agak berat. Aduh! Sabai-sabai dia dan aku berada pada tahap yang berbeza. Masuk pusingan kedua aku agak kalut menahan serangan Antonio, dan pada pusingan ketiga aku sudah terlalu penat dan berasa bagai tak cukup nafas. Tumbukannya yang berat dan mengenai bahagian kepala aku terutamanya memberi kesan secara tidak langsung kepada stamina aku. Barangkali kerana rentak perlawanan dan rentak pernafasan yang tidak terkawal dan mula berterabur membuatkan aku cepat penat.
Walaupun prestasi aku dalam sesi sparring itu tidak memberasangkan, aku masih puas hati kerana aku dapat mempelajari sesuatu dan membuat sedikit kesimpulan daripada sesi itu. Diantaranya ialah;
- Berikan tumbukan jab-cross 64 kalau boleh kerana kombinasi 1-2-3 tidak mencukupi.
- Tumbukan lawan yang mengenai sasaran akan mempengaruhi stamina dan rentak perlawanan aku, jadi, elakkan diri terutamanya bahagian kepala daripada menjadi sasaran lawan.
Selepas pertemuan yang singkat itu, aku membuat carian mengenai Antonio. Aku dapati beliau boleh betutur dalam pelbagai bahasa, memulakan kerjaya sebagai tentera Amerika, menjadi pakar kewangan sehingga berlakunya serangan September 11, meninggalkan kerjayanya untuk mendalami ilmu beladiri Asia, satu perkara yang beliau idamkan setelah sekian lama, melatih dan berlatih tentera pemisah Wilayah Shan yang sedang menentang kerajaan tentera Burma, dan bermacam lagi. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai personaliti menarik ini dan mengetahui projek beliau terkini, sila lawat laman sesawangnya di SpeakingAdventure.com atau profail BrooklynMonk1 beliau di Youtube.com.
Perjalanan ke Bukit Fraser
Keesokannya, aku dan sekumpulan Kickboxer dari studio kami berangkat ke Bukit Fraser dari studio kami di Subang untuk sesi latihan dan riadah di sana. Kami berada disana selama 2 hari 1 malam untuk berlatih di air terjun, melakukan riadah bebas dan bersantai menikmati keindahan alam.
Sepanjang perjalanan, aku berasa sedikit lemah dan pening-pening lalat, barangkali kerana sesi sparring yang diadakan malam sebelumnnya bersama Antonio. Tidak mengapa, kerana perjalanan ini adalah sangat penting bagi aku. Kepentingan yang menjangkau luar lingkungan Kickboxing ataupun sebarang seni beladiri di dunia ini. Aku tidak boleh melepaskan peluang untuk menyertai lawatan ini.
Hari pertama di Bukit Fraser berlalu dengan baik. Kami menetap di Jelai Resort dan setelah menentukan bilik masing-masing, kami beramai-ramai bergerak menuju ke air Terjun dan belajar sedikit ilmu belati, dan menggunakan kain sarung sebagai senjata. Ya, dalam lawatan seperti ini, kami dapat belajar mengenai ilmu perang tradisional seperti Muay Boran ataupun Silat, bergantung kepada Guru Jak. Pada sebelah malam pula, kami ada sedikit sesi permainan, yang lebih berperanan sebagai sesi ramah mesra antara peserta-peserta yang menyertai lawatan ini. Beberapa hadiah yang menarik seperti peralatan Kickboxing juga ditawarkan kepada mereka yang memenangi permainan yang diadakan malam itu. Aku menang juga.
Aku melayan buih sabun di malam yang dingin
Besoknya pagi-pagi aku dah bangun dan aku mengambil peluang ini untuk keluar awal dan menikmati kedinginan pagi dan keindahan alam. Aku tidak keluar seorang. Selepas bersarapan, kami berpeluang melakukan aktiviti bebas, jadi aku dan beberapa rakan memilih untuk berkuda, memanah, dan menikmati durian di tanah tinggi. Memang seronok, tapi selepas itu, aku berasa semakin lemah.
Kami bergerak pulang petang itu. Selain hanya mampu membuat sedikit lawak dan teka-teki yang diiktiraf kebodohannya, aku hanya mampu terbaring dan melelapkan mata sambil berusaha untuk bernafas secara normal. Ya. Berusaha. Saluran pernafasan aku, aku rasakan semakin sempit. Aku agak, ini berlaku kerana berada didalam air terjun yang sejuk terlalu lama. Sepatutnya aku memandu kereta, tetapi keadaan diri dan kesihatan aku tidak mengizinkan.
Ventolin Evohaler
Besoknya aku pergi ke pejabat, bukan untuk bekerja, tetapi untuk ke klinik di bangunan pejabat mendapatkan rawatan. Doktor mendapati pernafasan aku tidak normal kerana mengeluarkan bunyi bersiul semasa beliau menekapkan stetoskop beliau di belakang badan aku. Beliau bertanya mengenai sejarah kesihatan aku dan aku berkata aku tidak pernah menghidap penyakit lelah, tetapi, simptom penyakit amat jelas kedengaran. Buat pertama kali, aku diberi preskripsi Ventolin Evohaler, sebagai rawatan. Aku diberi demonstrasi penggunaannya sebelum keluar dari bilik Doktor.
Aku diberi cuti selama dua hari. Malam itu aku tidak dapat menghadiri latihan Kickboxing, dan aku dapat tahu kemudian yang Antonio hadir untuk melakukan rakaman dan temuramah bersama Guru Jak mengenai seni Tomoi dan Silat. Guru Jak memberitahu aku sekiranya aku hadir malam itu, lebih banyak teknik yang boleh dipersembahkan kepada Antonio, Si Sami dari Brooklyn. Tetapi, apakan daya, sudah nasib badan. Aku juga rasa bertuah kerana diberi perhatian dan penjagaan sepanjang dua hari aku terlantar.
Beberapa hari yang sukar dilupakan, pertemuan dengan seorang pengembara yang meninggalkan kerjaya setelah menyedari hidup ini adalah terlalu singkat untuk mengejar kekayaan semata. Sesi sparring yang meninggalkan kesan, memberi pengajaran dan pengalaman berguna kepada aku. Menikmati keindahan alam bersama rakan-rakan dan Teman. Paling penting dan tidak boleh aku lupakan ialah tentang keprihatinan dan kasih sayang.
Daripada sebesar Gelanggang sehingga sekecil Pelindung Gusi.
Dapatkan barangan Muay Thai idaman anda disini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan